Bahasa

Abdul Taib Mahmud: Jangan buat kenyataan negatif tentang mana-mana kaum

May 16, 2012

KUCHING, 16 Mei — Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini telah memberi nasihat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu supaya tidak membuat kenyataan negatif tentang mana-mana kaum di negara ini.

Beliau berkata demikian selepas penyiaran berita Harian Metro bertarikh 13 Mei ang telah menyiarkan rencana bertajuk “Ibuku isteriku, bapaku suamiku” yang mendakwa masyarakat Penan di Tinjar, Ulu Baram mengamalkan perkahwinan sesama anggota keluarga masing-masing.

Ini adalah antara punca anggota masyarakat Penan sukar mendapat MyKad dan dokumen lain. Mengikut anggaran terdapat 16,000 anggota masyarakat Penan di Belaga.

Taib (gambar) menambah bahawa tiada gunanya membuat kenyataan atau menulis yang tidak sopan tentang mana-mana golongan di negara ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan dan merosakkan keharmonian hubungan antara pelbagai etnik di negara ini.

Beliau berkata “Saya rasa tindakan paling baik ialah tidak membuat sebarang kenyataan tidak baik tentang mana-mana masyarakat. Kalau ada perkara baik, ceritalah, kalau sebaliknya, diam sajalah...itulah nasihat saya.”

Taib berkata kepada pemberita selepas melancarkan dua buku — “The Lanjak Entimau Story: Changing Landscape In Biodiversity Conservation” dan “Birds of Bario and the Kelabit Highlands” — terbitan Jabatan Perhutanan Sarawak dengan kerjasama Pertubuhan Balak Tropika Antarabangsa. — Bernama