Bahasa

AirAsia besarkan rangkaian, mulakan hab di Singapura

Oleh Jahabar Sadiq
Editor

May 08, 2012

KUALA LUMPUR, 8 Mei — AirAsia telah mendapat kebenaran Singapura untuk memulakan hab mereka di pulau tersebut, menurut sumber.

Kebenaran ini membolehkan syarikat penerbangan tambang murah Malaysia itu meluaskan pasarannya ke kawasan tersebut selepas seminggu Putrajaya membatalkan pertukaran saham dengan Malaysia Airlines (MAS).

The Malaysian Insider difahankan bahawa Singapura telah memberitahu AirAsia syarikat itu juga akan diberikan sijil pengendalian udara (AOC) secepat mungkin, menamatkan tempoh melobi oleh AirAsia untuk memulakan operasinya di negara terbabit.

“Singapura telah bersetuju untuk memberikan AOC,” menurut sumber industri kepada The Malaysian Insider. “Ia akan diberikan sedikit masa lagi.”

Ketua Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Februari lalu dipetik berkata beliau mensasarkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Singapura tahun ini untuk terbang terus dari negara tersebut.

Fernandes (gambar) berkata kepada Channel NewsAsia beliau bercadang untuk menjadikan negara itu hab penerbangan untuk syarikat tambang murahnya, termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina dan Jepun, malah menamakan India dan China sebagai kunci utama untuk mendapatkan kebenaran penerbangan.

AirAsia akan memberikan tumpuan untuk membina jenama ASEAN dengan hab di negara-negara Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun lagi, katanya. Sekarang ini, syarikat itu telah pun mempunyai hubungan kerjasama dengan Indonesia, Jepun, Filipina dan Thailand, sebahagian daripada operasi penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X.

Syarikat penerbangan tambang murah itu bermula dengan dua unit pesawat sehari dari Kuala Lumpur ke ibu kota pada 2007, tujuh tahun selepas ia mula beroperasi sebagai syarikat tambang murah.

Kini AirAsia terbang lebih 12 kali sehari dari Kuala Lumpur selain terbang terus ke negara seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand.

“Ini adalah permulaan baik buat AirAsia dengan keadaan ekonomi sekarang yang mana orang ramai akan menggunakan perkhidmatan syarikat tambang murah untuk bercuti malah kelas perniagaan dari Changi, yang mana merupakan hab antarabangsa,” jelas sumber lain dan menambah AirAsia bakal bersaing dengan syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot.

Syarikat tambang murah Singapura itu akan memulakan laluan harian dari Singapura-Sydney akan  menggunakan pesawat Boeing 777-200 bermula Jun ini, menurut pegawai rasmi syarikat dengan menggunakan laluan  Singapura-Gold Coast.

Syarikat itu juga merancang untuk menjadikan China sebagai salah satu laluan antarabangsanya.

Pasaran utama AirAsia masih lagi di Malaysia namun ia dilihat berkembang pesat di Indonesia dan Thailand, yang mana mempunyai operasi domestik yang besar. Ia telah memulakan operasi di Jepun dan Filipina dan sedang mempertimbangkan Myanmar, yang mana telah melaksanakan dasar ekonomi terbuka.

Fernandes, yang mengambil alih AirAsia dengan harga RM1 dan hutang pada 2001 semasa masih dengan dua pesawat, telah mengubah syarikat itu menjadi syarikat penerbangan tambang murah Asia dalam tempoh sedekad.

Kejayaannya itu mendorong Khazanah Nasional Berhad bersetuju untuk bekerjasama dengannya kerana MAS mengalami kerugian RM2.52 billion tahun lalu.

Namun pertukaran saham itu dibatalkan selepas ditandatangani pada Ogos lalu apabila mendapat bantahan daripada ahli politik dan kesatuan pekerja syarikat penerbangan yang mewakili 20,000 pekerja dan telah dibatalkan pada 2 Mei lalu.

Kegagalan pertukaran saham itu menyaksikan Khazanah memindahkan 10 peratus atau 277,650,600 sahamnya dalam AirAsia kembali kepada Tune Air Sdn Bhd, dan Tune Air memindahkan pegangan 20.5 peratus atau 685,142,000 pegangannya kepada MAS kembali kepada Khazanah.

Ia adalah transaksi tanpa wang tunai dan berdasarkan kadar sama pertukaran 2.05 berdasarkan harga pertukaran saham itu diumumkan pada Ogos 2011, yang mana nilai saham MAS adalah RM1.60 sesaham dan AirAsia pada RM3.95.

OSK Research menjelaskan AirAsia akan memperolehi manfaat daripada perpindahan saham tersebut, dan menjelaskan “Malaysia adalah dominan untuk syarikat penerbangan tambang murah, dengan kadar pasaran sekitar 57 peratus, ini memberikan AirAsia kelebihan dan menyekat tekanan dari MAS berdasarkan faktor kewangannya”.