Ambil kesempatan kekukuhan ekonomi untuk erat perpaduan — Mustapa
TANAH MERAH, 21 Ogos —Rakyat perlu mengambil kesempatan daripada keadaan ekonomi negara yang kini kukuh untuk mengeratkan lagi perpaduan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata suasana aman dan stabil di Malaysia berbanding beberapa negara lain menjadikan negara ini tumpuan pelaburan dalam dan luar negara.
“Ekonomi negara berada dalam keadaan baik, marilah kita menjalin silaturrahim, jangan ada yang bersengketa,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kemahang, di sini hari ini.
Kira-kira 10,000 orang memeriahkan rumah terbuka itu yang menampilkan sajian pelbagai juadah termasuk lemang dan rendang.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kedudukan ekonomi yang kukuh itu hasil daripada komitmen tinggi kerajaan termasuk transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata komitmen tinggi kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat telah membolehkan mereka menikmati kehidupan yang aman dan makmur termasuk penduduk luar bandar.
Bagaimanapun beliau kesal kerana masih ada rakyat yang tidak mahu bersyukur dengan kemakmuran dan keamanan yang mereka nikmati selama ini.
Mustapa berkata beliau menerima laporan bahawa terdapat segelintir khatib yang membaca khutbah Aidilfitri yang cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan termasuk menyamakan Malaysia dengan negara yang sedang bergolak dan membuat tohmahan bahawa kerajaan ‘kuku besi’ yang menindas rakyat.
“Pada hari raya ini mari kita tanamkan semangat untuk mengeratkan silaturrahim dan janganlah menggunakannya untuk memecahbelahkan masyarakat dengan pelbagai tuduhan yang melulu kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam, boleh tegur tetapi tegurlah secara berhemah,” katanya.
Mustapa berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba menimbulkan perpecahan yang akhirnya ummah akan menjadi lemah. — Bernama
Beliau berkata suasana aman dan stabil di Malaysia berbanding beberapa negara lain menjadikan negara ini tumpuan pelaburan dalam dan luar negara.