Azman: Komitmen Khazanah ke atas MAS bergantung kepada prestasi syarikat itu
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Khazanah Nasional berkata komitmennya ke atas proses pemodalan semula Malaysia Airlines bergantung kepada prestasi syarikat penerbangan negara itu.
“Kami boleh menyediakan wang, namun kami perlu melihat keputusannya memandangkan ia membabitkan wang awam,” kata Pengarah Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar (gambar) kepada pemberita pada mesyuarat agung tahunan Axiata Group Bhd di sini hari ini.
“Ia tidak boleh dalam bentuk menyelamat,” katanya semasa ditanya mengenai berapa banyak modal yang akan disediakan oleh Khazanah untuk memenuhi rancangan syarikat penerbangan itu.
“Kami mahu melihat keputusannya, kami perlu berjumpa kesatuan, pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang kepentingan Malaysia Airlines untuk bekerja bersama-sama bagi memajukan syarikat,” katanya.
Syarikat penerbangan itu mengumumkan proses mengumpul dana berjumlah RM9 bilion untuk membayar pembelian pesawat dan membiayai modal kerjanya.
Rancangannya termasuk menerbitkan sukuk Islam sehingga RM2.5 bilion menjelang Jun tahun ini.
Malaysia Airlines juga berkata jika rancangannya tidak berjaya, ia akan kembali kepada syarikat induknya, Khazanah Nasional untuk campur tangan bagi menyediakan sokongan kewangan dalam bentuk suntikan ekuiti modal bagi membiayai sebarang perbelanjaan modal membayar kos membeli pesawat dan keperluan modal kerja. — Bernama
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Khazanah Nasional berkata komitmennya ke atas proses pemodalan semula Malaysia Airlines bergantung kepada prestasi syarikat penerbangan negara itu.