Bomba berjaya halang lelaki cuba terjun bangunan tinggi
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Tindakan bijak anggota bomba berjaya menghalang seorang lelaki yang cuba terjun daripada tingkat 17 bangunan Perumahan Penduduk Rakyat (PPR) Seri Cempaka Lembah Pantai, di sini awal hari ini.
Lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu sebelumnya dilihat dalam keadaan murung duduk di atas tembok beranda tingkat berkenaan sambil menjuntaikan kaki dan disedari penduduk di situ kira-kira pukul 1.30 pagi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hamid Daud pihaknya yang mendapat panggilan kira-kira pukul 3.20 pagi bergegas ke tempat kejadian dan tiba dalam masa 10 minit kemudian.
“Lelaki tersebut sedang duduk di beranda dengan kaki terjuntai dan sedang bercakap menggunakan telefon bimbit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Menurut Hamid, lapan anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan Hang Tuah yang tiba cuba memujuk lelaki tersebut namun dia bertindak agresif dan cuba mengugut untuk terjun.
“Lelaki tersebut mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukan ke arah anggota bomba dan polis. Tetapi ketangkasan pihak bomba berjaya menangkap lelaki itu dari atas bumbung pada kira-kira pukul 5.45 pagi,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk di situ, Termizi Mat Amin berkata lelaki itu baru lima bulan tinggal bersama kakaknya di situ dan pihaknya tidak mengetahui latar belakang lain mengenai pemuda itu. – Bernama