Bahasa

Chellam – Bahagian 12

Oleh: Uthaya Sankar SB
July 15, 2012

15 JUL – Somad hanya membawa seorang pekerja untuk membantunya. Memang demikianlah arahan Kavitha. Dia hanya sanggup membayar upah bagi dua orang pekerja. Dia tidak mahu membazir wang dengan mengupah ramai orang.

“Kalau hanya dua orang bekerja, tentu susah sikit,” rungut Somad sambil memulakan kerja-kerja menukar bumbung.

Pada waktu itu, Kavitha keluar dari rumah sambil memakai seluar panjang. Kogila, Kannama dan Karpagam juga berpakaian begitu.

“Eh! Kamu semua mahu pergi mana?” tanya Somad dengan hairan.

“Kami mahu membantu kerja bapak,” jawab Karpagam.

Somad terasa sangat hairan. Pada mulanya dia sangka anak-anak gadis itu sedang bergurau. Tetapi kemudian dia nampak gadis-gadis berkenaan mengambil alat-alat tukang kayu dan benar-benar mula bekerja.

“Wah! Kamu semua anak-anak yang terpelajar. Tak usahlah buat kerja-kerja yang tak baik macam ini,” kata Somad dengan segera, cuba menghalang mereka.

Kavitha hanya tersenyum. Kogila, Kannama dan Karpagam juga saling berpandangan dan tersenyum.

“Janganlah kata begitu, bapak. Tak ada undang-undang mengatakan orang yang berpelajaran tak boleh buat kerja seperti ini,” kata Kavitha.

“Lagi pun, kami sedang tolong bapak mengubah suai rumah kami sendiri. Bukahkah itu tugas kami?” sampuk Karpagam pula.

“Aduh! Tapi janganlah kotorkan tangan kamu semua. Biarlah saya dan pekerja saya sahaja yang buat semuanya,” Somad cuba memujuk mereka.

Kavita dan adik-adiknya tetap berkeras. Akhirnya Somad terpaksa mengalah. Dia membenarkan mereka membantu kerja-kerja mengubah suai rumah Chellam. Mereka bekerja keras tanpa menghiraukan panas terik matahari.

Chellam duduk melihat keligatan anak-anaknya bekerja. Sambil itu, dia terkenang akan kisah yang berlaku hampir empat belas tahun dahulu. Kejadian lama tergambar di hadapan matanya bagaikan tayangan sebuah filem.

Pada waktu itu, Chellam, Selvam dan tiga anak mereka baru sampai di Kuala Lumpur. Mereka telah dihalau oleh emak Selvam semasa Chellam sedang mengandungkan anak keempat.

Apabila sampai di kawasan setinggan, Selvam dan Chellam memutuskan untuk membina sebuah rumah papan. Lalu Chellam mengumpulkan papan dan kayu serta atap terbuang. Dia bertungkus-lumus membina sebuah pondok buruk untuk mereka sekeluarga berteduh.

Kavitha, Kogila dan Kannama yang masih kecil pada waktu itu tidak boleh membantu. Mereka hanya bermain-main di sekitar rumah dan menangis apabila lapar. Selvam pula memang tidak boleh diharap. Dia langsung tidak membantu Chellam yang bersusah-payah membina sebuah rumah setinggan.

Kini, rumah setinggan yang sama sedang diubah suai oleh Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam. Chellam pula hanya duduk melihat mereka bertungkus-lumus bekerja bersama-sama Somad dan seorang lagi pekerja warga Indonesia.

Apakah hidup Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam juga akan sama dengan kisah hidup Chellam? Adakah sejarah akan berulang? Chellam terasa amat risau dan takut memikirkan soalan soalan itu. – Bersambung minggu depan

* Uthaya Sankar SB menulis kisah ini berdasarkan penceritaan seorang individu yang meminta identitinya dirahsiakan.