Bahasa

DAP kecam keganasan politik di ceramah PKR

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 27, 2012

KUALA LUMPUR, 27 Mei — DAP hari ini mengecam keganasan politik yang semakin berleluasa yang mensasarkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebagai mangsa kerana ia menunjukkan bahawa pilihan raya umum yang akan datang ini bakal menjadi pilihan raya yang paling ganas dalam sejarah akibat keadaan terdesak BN untuk mengekalkan kuasa tanpa mengira apa-apa.

Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng menegaskan, insiden keganasan politik dilihat semakin berleluasa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan ungkapan dahsyat iaitu, “Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan” semasa Perhimpunan Agung Umno lalu.

"Umno makin menggunakan bahasa kebencian dan keganasan. Seruan Najib pada hari itu membuktikan bahawa bahasa keganasan bukan sekadar terhad kepada kata-kata tetapi sudah pun menjadi tindak tanduk samseng yang ganas dan tidak berakal," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga melihat perkara itu seolah-olah dipandang ringan kerana walaupun individu yang bertanggungjawab sudah didedahkan melalui rakaman video, masih lagi tiada sebarang tindakan diambil.

"Walaupun keganasan penyokong-penyokong Umno terhadap para pemimpin dan penyokong PR sudah dibuktikan dengan gambar dan rakaman video, mereka yang bertanggungjawab masih belum didakwa dalam mahkamah.

"Kegagalan polis dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas samseng-samseng di kalangan penyokong BN hanya akan menggalakkan lebih keganasan terhadap pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR," tegasnya.

Tambah Lim dalam kenyataan tersebut, keadaan itu menunjukkan belang BN langsung tidak berminat untuk mengamalkan demokrasi sebaliknya menyemaikan benih ketakutan dalam kalangan rakyat.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan BN tidak berminat dengan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tetapi ingin menyemaikan ketakutan dan sanggup mempertikaikan demokrasi."

"Adakah pemimpin-pemimpin PR, termasuk Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat, perlu dicederakan sebelum apa-apa tindakan diambil untuk melindungi mereka bagi memastikan kempen politik yang bebas daripada keganasan?" soal Lim dalam kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, Lim menegaskan, pemimpin PR tidak pernah gentar walaupun terdedah kepada bahaya, sebaliknya akan meneruskan kempen mereka termasuk menembusi kubu kuat BN di Johor.

"Walaupun pemimpin-pemimpin PR terdedah dan tidak berupaya untuk mempertahankan diri daripada keganasan tak berakal oleh penyokong-penyokong BN, pemimpin-pemimpin PR akan terus berkempen dan mendekati rakyat, biarpun di kubu kuat BN seperti Johor," katanya.

Malah, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan menegaskan, situasi mungkin berubah menjadi seperti nasib yang diterima Hosni Mubarak jika BN berterusan menggunakan taktik ganas seperti itu.

"DAP mengingatkan BN supaya mengambil iktibar daripada taktik-taktik keganasan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak terhadap rakyatnya yang akhirnya telah gagal dan ditolak.

"Rakyat sudah tidak takut dengan taktik-taktik penindasan kerana mereka mahukan kebebasan," tegasnya lagi.

Malam Khamis lalu, ceramah PKR di Lembah Pantai dicemari insiden keganasan apabila penyokong BN, dalam ceramah di lokasi sama dengan jarak 100 meter membaling batu, telur, dan botol air ke arah penonton ceramah PKR.

Malah, sistyem elektrik lokasi ceramah pembangkang itu turut disabotaj hingga menyaksikan mereka bergelap selama 15 minit sewaktu Ahli Parlimen Pantai Nurul Izzah Anwar memulakan ucapannya.

Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun turut tercedera termasuk seorang warga emas berusia 60 tahun yang cefera di kepala akibat dibaling batu.

PKR juga mendakwa mempunyai bukti kukuh melalui rakaman video bahawa Pemuda Umno yang memulakan keganasan tersebut.

Umno Lembah Pantai bagaimanapun menafikan dakwaan mereka, sebaliknya menegaskan keganasan dicetuskan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memanggil pemuda Umno di sana sebagai "celaka" dan "sial".

Nurul Izzah bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sebaliknya berkata, kenyataan itu dikeluarkan Anwar selepas insiden keganasan tersebut berlaku.

Malah, Izzah juga menegaskan PKR akan membuat laporan polis terhadap Ketua Umno Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Pemuda Umno bahagian Datuk Mohamad Sazali Kamilan dan Ketua Penerangan Umno Bahagian Datuk Ibrahim Thamby Chik.

"Kenyataan wakil Raja Nong Chik adalah pengakuan kesalahan yang mereka lakukan ... dan ketiga-tiga mereka akan bertanggungjawab terhadap kenyataan tersebut," kata peminpin PKR itu.

Namun, pemimpin Umno Lembah Pantai hari ini menafikan tuduhan PKR sebaliknya mengatakan pembangkang sengaja "membesar-besarkan" cerita pada malam itu.