Bahasa

Guan Eng terima perletakan jawatan Tunku Aziz, namun enggan balas serangan peribadi

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 16, 2012

KUALA LUMPUR, 16 Mei − Lim Guan Eng hari ini enggan untuk melakukan “serangan balas peribadi” terhadap bekas Naib Pengerusi DAP yang telah meletak jawatan, Tunku Aziz Tunku Ibrahim yang sebelum ini mengatakan Setiausaha Agung DAP itu telah menghinanya apabila mengemukakan tawaran sebelum beliau meninggalkan parti pada malam Isnin lalu.

Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang ini sebaliknya berterima kasih di atas jasa Tunku Aziz sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP selama empat tahun sebelum ini.

“Saya tidak ingin bertukar serangan peribadi dengan Tunku tetapi ingin merakamkan penghargaan parti atas jasanya selama empat tahun sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan DAP,” kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, Lim mengesahkan telah menerima surat perletakan jawatan daripada Tunku Aziz yang juga merupakan pengasas kepada Transparency International Malaysia semalam, dan telah cuba untuk menghubunginya, namun gagal.

“Saya telah menerima surat perletakan jawatan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim daripada Parti DAP semalam.

“Saya telah mencuba untuk menghubungi beliau sejak pengumumannya untuk meletakkan jawatan pada hari Isnin, tetapi tidak berjaya,” kata Lim lagi.

Tunku Aziz sebelum ini dipetik laporan The Star berkata, Lim cuba memujuknya dengan menawarkan jawatan tinggi dalam Penang Institute dan “menawarkan pelancongan sebagai umpan.”

“Kemudian semalam, Zairil Khir Johari (setiausaha politik Lim) menghubungi saya dan menawarkan pendapatan berjumlah RM50,000 jika saya bersetuju.

“Ia adalah satu penghinaan, dan saya rasakan ia datang daripada individu yang langsung tidak mempunyai rasa hormat.

“Adakah beliau merasakan saya orang yang macam itu? Individu ini tidak mempunyai rasa hormat. Perkataan yang paling sesuai untuknya adalah biadap,” katanya dipetik akhbar Inggeris tersebut.

Namun sumber DAP berkata kepada The Malaysian Insider, tawaran tersebut benar-benar “ikhlas” dan tidak ada kaitan dengan tindakannya keluar daripada DAP.

Lim sebelum ini berkata, parti itu boleh menerima perbezaan pendapat beliau dah masih mempunyai ruang yang luas dan tempat untuk beliau sebagai naib pengerusi.

“Parti tidak akan sesekali mengambil apa-apa tindakan terhadap Tunku kerana menyuarakan perbezaan pendapatnya atau pun meminta agar beliau keluar atau letak jawatannya,” katanya.

“Jika Tunku Aziz berhak untuk menyuarakan pendapatnya yang berbeza, hak parti untuk menyatakan pendirian dalam isu dasar yang asas ini harus dihormati juga,” tambahnya lagi.

Lim juga berkata beliau berasa “dukacita” kerana Tunku Aziz ingin keluar dari DAP dan akan menghubunginya untuk memujuk beliau memikirkan semula keputusan itu.

“Saya harap kita boleh menyelesaikan apa-apa perbezaan pendapat secara dalaman dan dengan semangat kesetiakawan,” ujar beliau.

Dalam satu temuduga bersama penyiar televisyen swasta tempatan, NTV7, Tunku Aziz berkata beliau tiada pilihan melainkan keluar DAP berikutan perbezaan pendapat yang “luas dan tidak dapat diselesaikan” mengenai perhimpunan Bersih 3.0.

Tambahnya lagi, beliau telah “menerima amaran dari kawan-kawan serta rakan sekerja bahawa [beliau] mungkin akan dipecat.”

Tunku Aziz juga menjelaskan bahawa beliau sentiasa menyokong Bersih, namun beliau hanya tidak setuju selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak polis tidak membenarkan mereka berhimpun di Dataran Merdeka.

“Naum mereka mendakwa saya tak merujuk kepada pemimpin. Kenapa saya perlu merujuk pada ketua jika saya tak melanggar perjanjian untuk menyokong Bersih?

“Perbezaannya ialah saya tak akan sokong Bersih jika ia terlibat dengan akitiviti haram,” beliau berkata.

Tunku Aziz, yang dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP sebaik sahaja menyertai parti itu pada tahun 2008, juga berkata bahawa “kerajaan berada pada landasan betul” kerana sedia mendengar tuntutan rakyat.

“Mereka sudah tahu mengenai protes kami, tapi jangan lupa, mereka sebuah kerajaan sah yang dilantik kami.

Kita sudah lakukan 3 demonstrasi Bersih. Adakah kamu rasa kita perlu lakukannya lagi? Sebuah kerajaan yang tidak mendengar tuntutan rakyat tidak akan lakukan semua ini,” kata beliau.

DAP telah cuba memenangi hati kaum Melayu, yang membentuk 60 peratus dari 12 juta pungundi, dengan melantik ketua seperti Tunku Aziz.

Namun Tunku Aziz mengaku kegagalannya untuk menarik minat kaum Melayu kepada parti yang kebanyakan ahlinya terdiri daripada masyarakat Cina.

Lim bagaimanapun dalam kenyataannya hari ini hanya berharap agar masa dapat menentukan pihak mana yang berada di landasan yang benar.

“Biar masa yang menentukan siapa yang berada di pihak kebenaran.”