Hadi: PR berjaya kawal perusuh
HULU YAM, 29 April — Datuk Seri Hadi Awang hari ini menegaskan perusuh
ganas demonstrasi “Duduk Bantah” yang berlangsung di ibu Negara semalam bukanlah dari kalangan peserta penyokong Pakatan Rakyat (PR) kerana demonstrasi semalam turut melibatkan pelbagai pihak termasuk penyokong parti lawan.
President PAS ini (gambar) sebaliknya berasa bangga apabila peserta yang terdiri daripada kalangan penyokong PR dapat berhimpun secara aman, sebelum pihak polis mula menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
“Kita perlu ingat, peserta yang hadir semalam bukan sahaja daripada kalangan penyokong Pakatan Rakyat. Ada juga pemerhati, penyokong parti lawan, dan pihak polis, malah, polis datang lebih awal dari peserta.
“Ada antara mereka yang kita tidak mampu nak kawal. Tapi saya berbangga apabila peserta penyokong PR berjaya berhimpun secara aman,” katanya dalam satu majlis santai bersama media online dan blogger di sini.
Menurut Ahli Parlimen Marang ini lagi, pihaknya juga telah berjaya mengawal peserta demonstrasi semalam lebih baik berbanding perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu.
“Kita (PR) buat arahan supaya berhimpun secara aman, malah kali ini (Perhimpunan Bersih 3.0), kita dapat kawal lebih baik daripada yang sebelumnya,” katanya lagi.
Sehubungan insiden keganasan perusuh demonstrasi menuntut pilihan raya
adil dan bersih “Duduk Bantah” semalam, Hadi menganggap kerajaan
Barisan Nasional (BN) masih “baru” kerana mengambil tindakan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah perusuh.
“Kerajaan seharusnya ambil pengajaran daripada negara luar, Negara maju. Mereka sepatutnya membenarkan peserta demonstrasi melakukan bantahan secara aman tanpa sebarang provokasi daripada pihak berkuasa, sebaliknya pihak berkuasa hanya mengawal lalu lintas dan keselamatan peserta.
“Nampaklah kerajaan kita masih baru, tidak mahir mengawal demonstrasi,” katanya lagi.
Disebalik keganasan yang berlaku melibatkan perusuh semalam, Hadi masih beranggapan perhimpunan semalam lebih berjaya berbanding Bersih 2.0.
“Saya melihat perhimpunan semalam berjaya. Lebih berjaya dari Bersih 2.0.
“Kerajaan sekarang wajib lakukan perubahan terhadap sistem pilihan raya,” tegasnya lagi.
Ketika Bersih 3.0 semalam, terdapat kekecohan yang didakwa dicetuskan
perusuh apabila mereka mula melawan dan memprovokasi pihak polis.
Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenavasan, pula sebelum ini
menggesa perusuh ganas menghadapi “tindakan undang-undang” sekiranya
mereka menentang dan memprovokasi pihak polis.
Ambiga berkata kepada The Malaysian Insider beliau sangat “terkesan”
dengan laporan yang mengatakan perusuh “Duduk Bantah” yang dikatakan
aman, memprovokasi malah menyerang pihak polis ketika insiden semalam.
“Bagi saya, tiada persoalan untuk itu, kami tidak pernah bertoleransi dengan sebarang keganasan, mereka perlu dikenakan tindakan undang-undang. Perkara ini langsung tidak boleh diterima,” katanya semalam.
Ambiga telah memberikan respon berkenaan laporan yang mendakwa perusuh
berkeras walaupun telah diarah bersurai, sebaliknya bertindak ganas terhadap polis dengan melempar objek seperti kepingan konkrit, kon trafik, botol air dan batu ke arah mereka.
Namun begitu, bekas pengerusi Majlis Peguam itu menegaskan beliau tidak melihat insiden tersebut, sebaliknya, berdasarkan kawasan di mana beliau berada, demonstrasi itu berlangsung secara aman. Beliau mengulangi pendirian yang ditimbulkan pemerhati, apabila keadaan kelam kabut itu dimulakan oleh “agen provokasi” apabila melanggar halangan polis di sekeliling Dataran Merdeka, yang mana melanggar perintah mahkamah.
Tambahnya, situasi itu “sukar dipercayai” apabila ribuan perusuh, yang sebelum ini bertenang, tiba-tiba berlaku kekacauan.
Ambiga menambah pihaknya sedang mengumpul maklumat berkenaan
perhimpunan itu bagi mengenal pasti punca provokasi dan keganasan perusuh Bersih.
Rusuhan mula berlaku apabila polis mula menahan peserta rusuhan hamper empat jam selepas Bersih 3.0 diisytiharkan tamat oleh pemimpinnya apabila perusuh dianggarkan 1,000, enggan meninggalkan kawasan demonstrasi.
Terdapat juga perusuh yang mencabar dan memperolok-olokan pihak polis.
President PAS ini (gambar) sebaliknya berasa bangga apabila peserta yang terdiri daripada kalangan penyokong PR dapat berhimpun secara aman, sebelum pihak polis mula menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.