Bahasa

Khazanah untung RM4.9b menerusi penyenaraian IHH

June 15, 2012

KUALA LUMPUR, 15 Jun — Penyenaraian Integrated Healthcare Holdings Sdn Bhd (IHH) bulan depan, akan menyaksikan syarikat pemegangan pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, memperoleh RM4.9 bilion dalam bentuk keuntungan yang tidak dinyata menerusi pegangan 62 peratus dalam syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan antarabangsa itu.

Ini berikutan pelancaran serentak prospektus IHH hari ini di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Penguasa Kewangan Singapura untuk menyenaraikan sahamnya di bursa-bursa saham kedua-dua negara bulan depan, demikian menurut sumber terdekat dengan pengapungan tersebut.

Difahamkan juga, antara kandungan prospektus itu ialah pembelian saham oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan pelabur strategik utama antarabangsa pada harga RM2.85 sesaham.

Dengan harga purata kos sesaham IHH sebelum pengapungan pada RM1.56, Khazanah bakal mengaut keuntungan sebanyak RM4.9 bilion menerusi pegangan 3.85 bilion saham IHHnya.

“Penyenaraian IHH telah menarik langganan berlebihan daripada para pelabur strategik utama dari serata dunia, dan ini akan mendiamkan para pengkritik yang mengatakan Khazanah terlebih bayar ke atas pembelian Parkway Holding Singapore pada tahun 2010,” kata sumber tersebut.

“Kini, hanya selepas dua tahun Parkway diambil alih, Khazanah telah menggabungkan aset-aset kesihatannya untuk menjadi pengendali hospital swasta kedua terbesar di dunia.”

Menurutnya, Model Baru Ekonomi ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, telah mengubah Malaysia daripada pemain kecil dalam dunia hospital swasta kepada antara dua penggiat terbaik di dunia hari ini.

Kebelakangan ini, IHH aktif mengambil alih aset-aset baharu, yang antaranya melibatkan pembelian kumpulan hospital besar dari beberapa negara yang disempurnakan pada tahun 2010 dan 2012 ketika Najib menjadi pengerusi Khazanah.

Sektor kesihatan dikenal pasti jaguh sektor Model Baru Ekonomi. Khazanah kini memiliki beberapa kumpulan hospital di Turki (Acibadem AS), Parkway Holdings di Singapura, Apollo Hospitals Enterprise Ltd di India dan Pantai Hospitals and International Medical University yang berpangkalan di Malaysia.

Dwipenyenaraian IHH di Malaysia dan Singapore pada Julai nanti, menawarkan

2.23 bilion saham pada harga RM2.85 sesaham, bagi mengumpul dana sebanyak RM6.36 bilion.

Mokhzani Mahathir: Pemegang saham terbesar. — Foto failKencana Capital Sdn Bhd, dengan Datuk Mokhzani Mahathir merupakan pemegang saham terbesarnya, dilaporkan bakal muncul sebagai antara pelabur strategik utama dalam penyenaraian tersebut, sekaligus menyertai semula industri kesihatan setelah melupuskan pegangannya dalam Pantai Holdings beberapa tahun lepas.

Syarikat pegangan pelaburan negara Kuwait, Kuwait Investment Authority (KIA), juga bakal melabur RM450 juta dalam tawaran awam permulaan (IPO) IHH di Malaysia dan Singapura, menjadikannya pelabur kedua terbesar dalam IHH.

IPO tersebut juga menarik minat beberapa pelabur strategik lain, seperti Blackrock Inc, Capital Group, Och-Ziff Capital Management Group, Government of Singapore Investment Corp, Fullerton Fund Managemenr, AIA Group dan Hwan Investment Management.

Ahli Kumpulan Bank Dunia, International Financial Corp (IFC), juga telah menyatakan rancangannya untuk menyertai penyenaraian IHH.

Langkah yang diambil oleh Perdana Menteri ini kini berjaya menjadikan Malaysia penggiat utama dalam sektor penjagaan kesihatan, dan sokongan IFC merupakan sokongan Bank Dunia terhadap Model Baru Ekonomi Baru Perdana Menteri.

Sehingga kini, langganan bahagian pelabur-pelabur strategik utama dilaporkan melebihi 1.31 kali, permohonan membabitkan kira-kira dua bilion saham berbanding 1.53 bilion yang ditawarkan kepada mereka.

IHH merupakan pengendali hospital terbesar Asia yang dimiliki 62 peratus oleh Khazanah Nasional Bhd dan 26.6 peratus oleh Mitsui & Co. dari Jepun, manakala Abraaj Capital dari Dubai menguasai 7.1 peratus, manakala ketua Kumpulan Hospital Turki Acibadem Mehmet Ali Aydinlar memiliki 4.2 peratus.

Ini merupakan tawaran awam permulaan terbesar Malaysia tahun ini selepas IPO Felda Global Ventures Holding Berhad yang bakal meraih dana sebanyak RM10.5 bilion pada harga RM4.55 sesaham.

IHH pasti akan kekal sebagai pengapungan terbesar Asia pada tahun 2012. Daripada 2.25 bilion saham, sebanyak 720 juta saham yang ditawarkan telah dilanggan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Saham selebihnya akan ditawarkan kepada pelabur runcit serta petugas dan pekerja-pekerja kesihatan. Pengurus utama penyenaraian ini ialah Bank of America-Merril Lynch, Deutsche Bank dan CIMB Group.

Credit Suisse, DBS, Goldman Sachs dan Malayan Banking ialah pengurus penerima tambahan. Nomura, OCBC and UBS merupakan pengurus penerima tambahan bersama. — Bernama