Bahasa

Kit Siang tolak ‘Mahathirisme’, bukan Mahathir

Oleh Mohd Farhan Darwis
July 08, 2012

Lim: “Tuduhan-tuduhan (Dr Mahathir) bertentangan dengan polisi pembentukan lima dekad negara, Wawasan 2020 Bangsa Malaysia dan konsep 1 Malaysia.” — Foto failKUALA LUMPUR, 7 Julai — Lim Kit Siang hari ini menafikan beliau membenci seteru politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya hanya membenci pengaruh bekas perdana menteri itu dalam politik yang disifatkannya sebagai “Mahathirisme.”

Menurut Kit Siang, Mahathir dilihat semakin berusaha keras untuk mengekalkan Mahathirisme itu dalam Umno melalui kronisme dan korupsi sejak kebelakangan ini.

Ketua Parlimen DAP itu juga turut menolak bahawa bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur disebabkan tidak melayani karenah Dr Mahathir, sebaliknya Pak Lah tewas dalam pilihan raya pada 2008 disebabkan gagal membendung legasi kronisme, korupsi, dan penyalahgunaan kuasa ketika zaman Dr Mahathir.

“Mahathir mewujudkan rasa perkauman dalam kalangan masyarakat Melayu apabila memberikan amaran Melayu akan hilang kuasa jika Umno tewas dalam pilihan raya akan datang,” kata Lim.

Beliau turut menambah, Dr Mahathir (gambar) juga menimbulkan ketegangan kaum apabila mengatakan pilihan raya ke-13 nanti akan berdasarkan kaum dan pengundi Cina akan menjadi penentu dalam pilihan raya.

“Tuduhan-tuduhan beliau itu bukan sahaja tidak benar, malah bersifat provokatif dan bertentangan dengan polisi pembentukan lima dekad negara ini, Wawasan 2020 Bangsa Malaysia dan konsep 1 Malaysia Najib Razak,” katanya merujuk kepada Gagasan 1 Malaysia yang dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun telah bersara pada 2003, Dr Mahathir terus mencorak landskap politik Malaysia dan dilihat semakin jelas mempertahankan Barisan Nasional (BN) ditambah lagi dengan pilihan raya yang semakin hampir.

Sebaliknya, Lim berterusan mengecam pemimpin itu dan menuduh Umno “menggunakan permainan penipuan yang berbahaya” dengan mewujudkan rasa takut yang mungkin akan memecahbelahkan Malaysia melalaui garisan politik dan perkauman semata-mata mahu memenangi pengundi Melayu.

Lim turut menegaskan, ketidaktentuan Najib untuk memenangi pilihan raya kali ini juga menyebabkan pemimpin dan pakar strategi Umno menggunakan taktik “terdesak”.

Lim hari ini turut menggesa rakyat Malaysia agar bersatu dan membuktikan segala dakwaan Dr Mahathir itu adalah tidak benar.

“Kembalinya Mahathirisme perlu ditolak secara keseluruhan dan kita perlu membuktikan pilihan raya umum ke-13 nanti bukan berdasarkan perkauman, tetapi sebaliknya berlandaskan kesatuan, keharmonian, dan Malaysia yang progressif.

“Kita perlu buktikan rasuah, kronisme, dan penyalah gunaan kuasa akan disingkirkan dan bakal menjadi sejarah.