Lawatan Najib ke Kota Belud ‘perangsang kepada BN’
KOTA BELUD, 4 Sept — Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kota Belud Ahad lepas untuk menghadiri majlis Aidilfitri dianggap sebagai perangsang untuk gabungan parti pemerintah dan penghargaan kepada rakyat di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mesej yang disampaikan Najib pada perhimpunan raksaksa itu telah menaikkan semangat rakyat tempatan yang hadir pada majlis itu.
Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor telah menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran bersama Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Usbo, di mana Pandikar adalah timbalan pengerusinya.
"Perdana menteri melawat tempat kelahiran Umno Sabah dan beliau memberi penghargaan kepada penduduk Kota Belud yang mengundi calon Umno pada pilihan raya kecil 1991 yang menyaksikan parti itu bertapak di negeri ini," kata Salleh kepada Bernama, di sini hari ini.
Salleh, yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah, berkata lawatan itu juga akan memberi semangat kepada parti-parti komponen BN untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan BN kekal di semua empat kerusi di sana selepas pilihan raya umum akan datang.
Tiga kerusi negeri di kawasan parlimen Kota Belud ialah Usukan, Tempasuk dan Kadamaian. Pada pilihan raya umum lepas, pada 2008, semua kerusi negeri dan kerusi parlimen Kota Belud dimenangi calon BN.
Mengenai laporan bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan pada November, beliau berkata adalah lebih baik perkara itu diserah kepada kebijaksanaan Najib dan kepimpinan BN tetapi pada masa sama anggota parti perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi pengundi apabila tiba masanya.
Salleh turut bersetuju dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengenai perlunya rakyat mengekalkan BN terus berkuasa, bukan hanya di Sabah, tetapi juga di Putrajaya.
Salleh berkata ketika pembangkang terus membohongi pengundi dengan membuat pelbagai janji, Najib sibuk melaksanakan pelbagai projek dan program yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
Beliau juga berkata bahawa Sabah di bawah kepimpinan Musa turut mendapat faedah hasil inisiatif kerajaan negeri, terutama dalam program-program untuk meningkatkan ekonomi dan taraf kehidupan rakyat.
"Saya bersetuju dengan (Datuk) Musa bahawa Sabah dan rakyatnya akan menderita jika mereka memilih parti dan pemimpin yang salah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum," katanya. — Bernama
Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mesej yang disampaikan Najib pada perhimpunan raksaksa itu telah menaikkan semangat rakyat tempatan yang hadir pada majlis itu.