Bahasa

Lee Lam Thye: Syarikat perlu galakan perpaduan melalui kegiatan CSR

September 17, 2012

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Untuk memupuk perpaduan lebih erat di kalangan rakyat negara ini, aktivis sosial terkemuka Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan agar syarikat swasta memasukkan kegiatan ke arah itu dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Pemegang amanah Yayasan 1Malaysia itu berkata bagi menghargai usaha tesebut, kerajaan pula patut memberi pengecualian cukai dan geran kepada syarikat terbabit.

“Tidak dapat dinafikan bahawa dalam kegiatan sosial lain seperti yang mempunyai kaitan dengan alam sekitar, penjagaan kesihatan, pendidikan dan membantu golongan kurang bernasib baik, sektor korporat telah banyak memberi sumbangan, walaupun usaha ini masih boleh dilipatgandakan.

“Apabila sektor korporat tampil membantu masyarakat sivil dalam perkara berkaitan perpaduan nasional, ia sebenarnya melabur secara langsung ke arah kestabilan negara dan ini amat penting untuk membantu perniagaan terus berkembang dan merancakkan kegiatan ekonomi.”

Lee berkata bagi beliau, usaha menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini merupakan cabaran terbesar bagi Malaysia dan menjadi kunci utama bagi kelangsungan hidup rakyat negara ini.

Beliau juga memuji syarikat korporat yang menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dengan memberi sumbangan kepada pelbagai badan amal serta menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik.

“Saya juga ingin melihat mereka turut memberi perhatian ke arah memenuhi tanggungjawab sosial yang lebih besar terhadap negara.

“Tidak ada tanggungjawab sosial yang lebih besar daripada memastikan kejayaan negara ini dalam menyatupadukan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum,” kata beliau. — Bernama