Bahasa

Mukhriz: Amerika Latin pasaran menarik

May 21, 2012

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Amerika Latin terus menjadi satu pasaran menarik kepada banyak syarikat asing walau dalam keadaan ekonomi global yang lembap sekarang ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya Amerika Latin telah menunjukkan paras ketahanan yang tinggi walau pun semasa krisis kewangan global berikutan kestabilan dasar makroekonomi dan langkah fiskal berhemahnya.

"Menurut Laporan Economist Intelligence Unit, keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Latin diramalkan berkembang daripada 4.3 peratus kepada 4.5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

"World Economic Outlook yang diumumkan oleh Tabung Kewangan Antrarabangsa (IMF) mengunjurkan bahawa Chile, Mexico dan Peru akan mencatatkan pertumbuhan sederhana, masing-masing 4.3 peratus, 3.6 peratus dan 5.5 peratus pada tahun ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan satu seminar bertajuk Peluang Perniagaan di Chile, Mexico dan Peru: Masanya Adalah Sekarang".

Katanya (gambar) Chile, Mexico dan Peru menawarkan peluang perniagaan dan pelaburan menerujakan berikutan adanya faktor utama seperti pertumbuhan ekonomi mampan, kerangka perundangan yang jelas, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang kukuh, lokasi strategik dan sumber asli yang banyak.

Mengenai perdagangan dua hala dengan Chile, eksport Malaysia ke Chile mencatatkan petumbuhan berganda yang menyumbang kepada peningkatan positif 40.8 peratus kepada keseluruhan RM377.48 juta berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Ini merupakan pertumbuhan eksport tertinggi yang dicatatkan sejak 2005.

Produk elektrik dan elektronik merupakan penyumbang utama kepada eksport Malaysia ke Chile, yang mencatatkan pertumbuhan 33.4 peratus pada 2011.

Perdagangan dua hala dengan Mexico telah meningkat sebanyak 41.74 peratus kepada RM6.1 bilion pada 2011.

Antara negara Amerika Latin, Mexico adalah rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import ke-empat terbesar selepas Brazil, Costa Rica dan Argentina.

Produk elektrik dan elektronik, pakaian, kimia, pembuatan logam dan jentera adalah lima eksport utama ke Mexico pada 2011 manakala pengangkutan peralatan, jentera, peralatan, kimia dan makanan laut adalah import utama Malaysia dari Mexico.

Imbangan perdagangan antara Malaysia dan Peru telah menguntungkan Malaysia sejak 10 lepas berikutan ekport yang tinggi barangan dikilang.

Malaysia menduduki tangga ke-30 destinasi sumber import dan ke-74 sumber ekport bagi Peru.

Selain eksport utama produk elektrik dan elektronik, produk berasaskan getah terus menyumbang kepada eksport keseluruhan Malaysia ke Peru.

Eksport sarung tangan getah Malaysia mencatatkan lebih 70 peratus daripada agihan pasaran itu. — Bernama