Bahasa

Mustapa: Tiada kesan buruk daripada kemelesatan di China

May 24, 2012

Perubahan jumlah perdagangan antara China dan Malaysia adalah biasa, kata Mustapa. — Gambar failKUALA LUMPUR, 24 Mei — Perdagangan antara Malaysia dan China dijangka berkembang antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus pada tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Adalah biasa bagi jumlah dagangan antara kedua-dua negara menunjukkan turun naik tetapi unjuran itu tetap sama, katanya pada taklimat media selepas melancarkan Peranti Mudah Alih bagi Pengeksport dan Media Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Sungguh pun begitu, katanya perdagangan Malaysia tidak akan menerima kesan yang teruk jika berlaku kemelesetan di China, katanya semasa menjawab pertanyaan sama ada perdagangan Malaysia dengan China akan menerima kesan kerana pertumbuhan China kini semakin menurun.

Mengulas mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus bagi suku pertama 2012, katanya: “KDNK agak baik walau pun dalam keadaan ekonomi yang kurang menentu.”

“Malaysia mencatatkan prestasi yang agak baik khususnya dalam pelaburan swasta. Ini kejayaan yang baik dan mencerminkan pelaburan yang matang.”

Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa KDNK berkembang 4.7 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding dengan pertumbuhan 5.1 peratus pada suku yang sama 2011 dan pertumbuhan 5.2 peratus pada suku keempat 2011. — Bernama