Panel Bersih bukan ‘pendua’ inkuiri Suhakam, kata Hanif
PUTRAJAYA, 4 Jun – Panel penasihat bebas berkenaan perhimpunan Bersih 3.0 menegaskan, siasatan yang dilakukan mereka bukanlah bersifat “pendua” kepada inkuiri yang dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), kata pengerusinya Tun Mohammed Hanif Omar.
Beliau menegaskan siasatan yang dilaksanakan panel tersebut lebih bersifat menyeluruh berbanding Suhakam yang lebih menjurus kepada pelanggaran hak asasi manusia.
“Siasatan kami tidak bertindih dan bukan duplikasi inkuiri Suhakam.
“Suhakam memberikan tumpuan kepada pelanggaran hak asasi manusia. Sebaliknya terma rujukan 10 perkara kami merangkupi satu inkuiri yang lebih luas, tidak terhad terhadap pelanggaran hak asasi manusia,” bekas ketua polis negara ini (gambar) kepada media selepas mesyuarat panel tersebut di sini.
Tambah Hanif, panel berkenaan telah menjemput Suhakam untuk turut serta menyertai panel tersebut, namun menurutnya, badan bebas itu lebih selesa untuk bergerak sendiri berdasarkan undang-undang dan akta mereka.
“Suhakam telah dijemput untuk menghantar wakil, tetapi mereka lebih selesa untuk menjalankan inkuiri sendiri berdasarkan akta mereka,” katanya kepada pemberita selepas hampir 3 jam menunggu mesyuarat tersebut tamat.
Dalam mesyuarat hari ini, panel siasatan Bersih 3.0 itu telah diberikan penjelasan lanjut berhubung tindakan pihak polis dan telah ditunjukkan tayangan klip video 40 minit sebelum perhimpunan itu.
“Jumlah keseluruhan klip video dalam simpanan polis sekitar 43 klip dan akan mengambil masa 73 jam untuk keseluruhan klip video ditayangkan.
“Untuk hari ini, kami ditayangkan klip video berdurasi 40 minit oleh pihak polis yang mana menunjukkan rakaman di sekitar ceramah sebelum hari perhimpunan Bersih 3.0.
“Kami mendapati terdapat unsur-unsur hasutan daripada kalangan pemimpin politik dalam ceramah tersebut,” katanya lagi dan menambah “rakaman ceramah itu telah dibuat diseluruh negara.”
Hanif turut menjelaskan, mesyuarat panel hari ini turut diberikan penerangan berkenaan standard prosedur operasi polis ketika perhimpunan tersebut.
MENYUSUL LAGI
PUTRAJAYA, 4 Jun – Panel penasihat bebas berkenaan perhimpunan Bersih 3.0 menegaskan, siasatan yang dilakukan mereka bukanlah bersifat “pendua” kepada inkuiri yang dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), kata pengerusinya Tun Mohammed Hanif Omar.