Bahasa

Pekerja pengurup wang cedera ditembak dua penyamun

May 12, 2012

PETALING JAYA, 12 Mei — Seorang pekerja pengurup wang nyaris maut selepas ditembak penyamun yang cuba menyamun premis itu yang terletak di SS2 Sea Park di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketika kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemilik premis pengurup wang itu sedang membuka pintu premisnya sebelum dua lelaki bermotosikal bertopi keledar penuh cuba memasuki premis berkenaan.

Cubaan kedua-dua lelaki itu berjaya dihalang pemilik premis berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Ketika itu dua pekerja premis itu tiba dan membantu pemilik premis berkenaan sebelum salah seorang daripada lelaki tersebut melepaskan dua das tembakan ke arah pekerja terbabit lalu terkena pinggangnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ekoran insiden itu, katanya kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di hadapan premis tersebut. — Bernama