Bahasa

Pembangkang perintah setelah asas dan landasan dibina BN, kata Shafie

August 30, 2012

BANGI, 30 Ogos — Kerajaan Pakatan Rakyat sekadar memerintah beberapa negeri setelah landasan dan asas kukuh dibina kerajaan Barisan Nasional(BN) selama 50 tahun, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata sikap pembangkang mencipta tema Hari Kemerdekaan lain daripada yang ditetapkan kerajaan persekutuan jelas menunjukkan bahawa mereka lebih mementingkan agenda politik sendiri daripada memikirkan perpaduan dan kemakmuran umum.

Katanya, walaupun pembangkang mempunyai pendirian dan ideologi politik berlainan, namun mereka tidak seharusnya menafikan pembangunan dan kemajuan yang dilakukan kerajaan BN sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.  

“Apa yang dibuat pembangkang cuma nak menabur janji dan memburukkan dan tidak langsung mahu mengakui kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN,” kata Shafie kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penghayatan Hari Kemerdekaan Warga KKLW, di sini hari ini.

“Lim Guan Eng mungkin tidak boleh memerintah Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kalau landasannya tidak kuat atau tidak kukuh,” kayanya.

Shafie berkata tradisi pentadbiran kerajaan yang melaksanakan segala agenda pembangunan negara dengan sokongan rakyat akan diteruskan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, Najib yang mengutamakan kepentingan rakyat, sudah pasti akan terus melaksanakan lebih banyak program dan transformasi bagi memastikan Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 dengan rakyatnya memperoleh kejayaan dan keamanan.

“Saya penuh yakin Perdana Menteri mampu melaksanakan kesejahteraan untuk rakyat dan negara kita. Kita sedar dan tahu bahawa sepanjang 55 tahun, banyak yang dilakukan, kampung sudah menjadi bandar dan orang kampung hidup selesa.

“Apa yang pembangkang mampu lakukan hanya berjanji, walaupun mereka yang  memerintah beberapa negeri, tak mampu tunaikan segala janji yang ditaburkan pada pilihan raya 2008,” katanya.

Shafie berharap Najib terus memberi fokus bagi melengkapkan pembanguan dan kemajuan luar bandar dalam Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada bulan depan.

“Saya berharap kita akan dapat menjayakan agenda transformasi luar bandar bukan sekatat nak pastikan prasarana luar bandar dapat kita lengkapkan tetapi juga pembangunan insaniah manusia,” katanya. — Bernama