Bahasa

Penubuhan akademi undang-undang akan dibincang dengan jemaah menteri, peguam negara

May 14, 2012

IPOH, 14 Mei – Perbincangan mengenai cadangan penubuhan Akademi Undang-undang akan diadakan dengan Jemaah Menteri dan Peguam Negara dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata sudah tiba masa untuk membentuk sebuah organisasi lain yang boleh dianggotai oleh semua pihak yang berlatar belakang pendidikan undang-undang, selain Majlis Peguam yang keanggotaannya hanya terhad kepada pengamal undang-undang.

“Majlis Peguam adalah untuk mereka yang mengamal undang-undang sahaja tetapi sebahagian besar daripada mereka yang mempunyai kelulusan undang-undang seperti ahli akademik di universiti, sektor perbankan termasuk bekas hakim tidak mempunyai persatuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Projek e-Kehakiman Semenanjung di sini, hari ini.

Seorang anggota Majlis Peguam Abu Backer Sidek baru-baru ini mencadangkan sebuah badan guaman baru yang bebas dibentuk kerana Majlis Peguam sedia ada gagal dipertahankan sebagai sebuah badan yang profesional dan berintegriti.

Kerajaan kemudiannya bersetuju dengan tuntutan golongan peguam yang mahu membentuk satu organisasi baru bagi mewakili mereka mempertahankan profesion, kebajikan dan kepentingan guaman.

Selain itu, Mohamed Nazri berkata penubuhan akademi berkenaan bertujuan mengelak daripada hanya satu pihak yang memonopoli dalam soal interpretasi undang-undang.

“Saya pasti mereka yang berada dalam akademik akan mempunyai interpretasi undang-undang yang lebih baik (seperti) bekas hakim ke apa ka... Majlis Peguam tidak semestinya mereka sentiasa betul...Mereka sangat partisan. Saya tidak fikir mereka perlu memonopolinya,” katanya.

Beliau berkata negara seperti Singapura telah lama menubuhkan organisasi seumpama itu.

Mengenai projek e-Kehakiman Semenanjung, beliau berkata kerajaan merancang memperluaskan projek itu di lebih banyak lokasi mahkamah.

“Pihak mahkamah telah pun bersedia untuk menampung akses yang lebih tinggi dengan wujudnya dua lokasi pusat data iaitu pusat data utama di Istana Kehakiman dan pusat data sokongan di Mahkamah Jalan Duta,” katanya.

Katanya ketika ini hanya enam lokasi iaitu Istana Kehakiman, Mahkamah Kuala Lumpur, Shah Alam, George Town, Johor Baharu dan Ipoh telah dilengkapi komponen e-Kehakiman seperti kemudahan akses e-Filing, sistem pengurusan kes dan system pengurusan giliran. – Bernama