Perdana Menteri dan Sultan Hassanal Bolkiah adakan pertemuan
PUTRAJAYA, 4 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di pejabatnya di sini bersempena Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam ke-16 selama dua hari yang bermula semalam.
Ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Perdana Putra disambut perdana menteri pada pukul 10.55 pagi sebelum mereka ke tingkat lima untuk memulakan perbincangan.
Wisma Putra, dalam kenyataan pada Sabtu, berkata kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang pada perundingan tahunan ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang berjalan dan mencari potensi baharu bagi meningkatkan perkongsian yang memberi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
Menurut Wisma Putra lagi, perundingan itu merupakan acara paling penting dalam kalendar kedua-dua negara kerana ia merupakan mekanisme bagi perbincangan pelbagai isu kepentingan bersama dua hala, serantau dan antarabangsa.
Pada Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam yang ke-15 di Bandar Seri Begawan, Brunei, pada 12 Sept tahun lepas, kedua-dua pemimpin menandatangani satu perjanjian dan tiga memorandum persefahaman. — Bernama