PKR akan dedah kaitan Talam — MCA jika fitnah berlarutan
PETALING JAYA, 12 Julai — Rafizi Ramli hari ini menegaskan akan melakukan lebih banyak pendedahan yang mengaitkan Talam Corporation dengan MCA jika parti komponen Barisan Nasional itu berdegil mahu meneruskan fitnah mereka terhadap kerajaan Negeri Selangor.
“Saya memberi amaran untuk segera menghentikan fitnah ini sebelum lebih banyak fail penglibatan pemimpin MCA dalam semua usahama dan projek gagal akan didedahkan kepada rakyat,” kata Pengarah Strategik PKR itu dalam sidang media hari ini.
Rafizi juga menegaskan, masalah berkenaan Talam itu telah wujud sejak zaman pemerintahan BN di Selangor, dan Pakatan Rakyat (PR) terpaksa menyelesaikan masalah-masalah tersebut selepas mengambil alih Selangor daripada BN selepas pilihan raya umum 2008.
“Kita akan tunjukkan bukti siapa yang mendapat lebih banyak keuntungan daripada Talam.
“Selepas mengambil alih kerajaan negeri, PR telah merampas kembali tanah-tanah dan harta yang dimiliki Talam, termasuk tanah yang telah digadaikan di bank ... jumlahnya mencecah RM684 juta,” kata Rafizi.
Menurut beliau, dari jumlah RM684 juta itu, sejumlah RM292 juta telah digunakan untuk melangsaikan hutang Talam kepada bank, dan pemiutang lain untuk membebaskan tanah dari gadaian.
“Hasil bersih yang berjumlah RM392 juta adalah hutang Talam yang dikutip kerajaan PR. Tapi Datuk Chua Tee Yong gagal untuk mengetengahkan perkara ini.
“Beliau lebih gemar untuk merumitkan keadaan bagi mengaburi mata rakyat,” tegas Rafizi.
Jelas Rafizi lagi, Talam adalah anak emas Umno/MCA sewaktu mereka memerintah dan telah beroleh pelbagai manfaat semasa mereka memerintah Selangor sebelum ini.
“Kami menghormati pemisahan pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam menguruskan pentadbiran negeri.
“Oleh sebab itu, setelah pimpinan memberikan kebenaran, saya akan berusaha mematahkan serangan MCA dalam isu ini,” katanya yang bertanggungjawab melakukan pendedahan berhubung skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan yang terbaru campurtangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam projek LRT Ampang.
“Jika mereka (MCA) masih meneruskan fitnah mereka, saya akan adakan satu lagi sidang media pendedahan bukti kaitan antara MCA dan Talam,” kata Rafizi memberi amaran kepada MCA.