Bahasa

PKR bawa isu tanah IPD Brickfields ke SPRM minggu depan

Oleh Nomy Nozwir
August 23, 2012

PETALING JAYA, 23 Ogos — PKR akan membawa isu tanah ibu pejabat polis daerah Brickfields ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.

Menurut Nurul Izzah Anwar (gambar), naib presiden PKR penduduk Brickfields berhak mengetahui isu sebenar di sebalik pertukaran tanah antara IPD Brickfields dengan pembinaan balai polis baru di Jalan Travers.

“Kami mahu mengetahui berapa kerugian di pihak kerajaan apabila mereka menukar tanah IPD Brickfields dengan balai polis baru di Jalan Travers,” katanya dalam sidang media di ibu pejabatPKR hari ini.

Katanya lagi, IPD Brickfields yang berusia hampir 30 tahun menjadikan Brickfields tempat yang selamat, namun apabila ia dipindahkan, peningkatan jenayah semakin meningkat.

“Sejak IPD Brickfields dipindahkan ke balai polis Jalan Travers, kejadian jenayah semakin meningkat dan dan kejadian keganasan seperti kes pukul semakin meningkat.

“Ini menyebabkan masyarakat di Brickfields merasakan diri mereka terancam, dan perniagaan semakin merosot akibat ancaman ini,” katanya lagi.

Nurul Izzah juga berkata, tanah yang selama ini menjadi milik polis kini sudah menjadi milik Prima Muda Sdn Bhd.

“Kalau kita lihat pengarah Prima Muda Sdn Bhd ini ialah Senator Mariani Yit, yang merupakan ketua wanita Umno bahagian Bukit Bintang.

“Saya ingin bertanya kenapa tanah ini diberikan sewenang-wenangnya kepada Prima Muda? Adakah kerana pengarahnya ada jawatan dalam Umno?” katanya lagi.

Turut hadir ialah ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dalam sidang media ini.

Sivarasa berkata, pemaju telah mendapat 3 ekar tanah IPD Brickfields dengan syarat mereka membina balai polis baru di IPD.

“Saya dapat anggarkan kos untuk membina balai polis adalah sekitar RM10 juta.

“Tetapi kita mahu tahu harga tanah IPD Brickfields. Menurut apa yang saya fahamkan, harga tanah di situ mengikut anggaran berharga RM100 sekaki persegi.

“Kalau keseluruhan ia sudah berharga RM150 juta, bagaimana pertukaran ini boleh diadakan sedangkan ia jelas kerugian berganda-ganda?

“Ini seperti rompakan di siang hari dan rakyat perlu mengetahui hal ini, kerana ia melibatkan wang rakyat, dan keselamatan rakyat. Dan IPD paling hampir ialah Seri Petaling iaitu 12 kilometer dari sini,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, PKR mahu SPRM menyiasat hal ini kerana parti itu merasakan bahawa terdapat unsur rasuah dan penyelewengan yang melibatkan harta rakyat seperti tanah polis.