Bahasa

Kritik Raja Nong Chik, lelaki terima ugutan bunuh

Oleh Lisa J. Ariffin dan Nomy Nozwir
August 23, 2012

Pengerusi Badan Bertindak Little India, S. Pathavachalam (kiri) bersama Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa (tengah) dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (kanan) semasa sidang medianya di ibu pejabat PKR hari ini. — Gambar oleh Nomy NozwirPETALING JAYA, 23 Ogos — Pengerusi Badan Bertindak Little India, S. Pathavachalam hari ini mendakwa dirinya menerima ugutan bunuh kerana mengkritik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Beliau hari ini mendakwa menerima dua ugutan bunuh terhadap dirinya dan keluarganya, selepas beliau mengkritik dasar menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu.

Pathavachalam berkata beliau menerima panggilan ugutan “beberapa minggu yang lalu” dari seorang yang menggelarkan dirinya “Sudukaatu Ravi”, yang kemudian membuat ugutan bunuh terhadap dirinya dan keluarganya.

“Dia (pengugut) berkata nyawa saya akan melayang kerana mengkritik dan memalukan Raja Nong Chik,” katanya dalam sidang medianya di ibu pejabat PKR hari ini.

“Lelaki itu juga berkata tidak ada gunanya untuk saya membuat laporan polis kerana dakwaannya, polis dan kerajaan adalah di pihaknya,” katanya lagi.

Pathavachalam bersama dengan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang berkata budaya “politik gangster” haruslah dihentikan.

“Budaya politik ‘gangster’ hendaklah dihentikan. Sejak akhir-akhir ini, ramai pekerja parti dari PKR dan DAP yang berkhidmat untuk rakyat menerima ugutan,” katanya lagi.

“Insiden membaling batu ketika ceramah serta ugutan bunuh ini haruslah dihentikan,” katanya lagi.

Beliau merujuk kepada ceramah PKR pada Mei yang melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertukar ganas apabila penonton dan pimpinan pembangkang dibaling batu dan telur.

Dilaporkan kira-kira 100 ahli pemuda Umno Lembah Pantai menutup jalan menuju ke ceramah PKR, dengan membawa sepanduk “Anwar punca huru-hara negara ini.”

Ceramah PKR itu dikatakan menjadi kecoh gara-gara penceramah bercakap dengan lebih kuat untuk bersaing dengan ceramah Umno yang berhampiran.

Malam itu menyaksikan satu kecederaan serius melibatkan warga emas yang cedera di kepala selepas dibaling batu.

Ketua umum PKR itu kemudiannya mengarahkan lelaki cedera itu ke hospital berhampiran untuk rawatan. Anwar kemudian terus menyalahkan Umno terhadap insiden tersebut.

Insiden itu merupakan insiden kali ketiga melibatkan ceramah PR selepas perkara yang sama berlaku di Merlimau dan Melaka.