Bahasa

PKR tuntut cegah kematian PTD daripada berulang

September 17, 2012

Nik Nazmi tidak mempertikaikan perlunya pegawai PTD cergas dari segi fizikal dan mental, akan tetapi mempersoalkan mengapa latihan fizikal terlalu mencabar sehingga membahayakan nyawa pelatihnya. — Gambar file SHAH ALAM, 17 Sept — PKR hari ini menuntut agar kerajaan Malaysia mencegah kematian pelatih Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) daripada berulang kata pengarah komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Semalam, Aldy Hasmi Abu Hassan, seorang pelatih PTD, meninggal dunia ketika menjalani latihan Wataniah di Pekan, Pahang, dua tahun selepas kematian seorang lagi pelatih PTD, Norhashimah Wahid, ketika menjalani latihan ala-komando.

“Saya difahamkan keluarga Allahyarham Norhashimah telah dimaklumkan bahawa modul komando telah pun diberhentikan dan prosedur operasi diubah berikutan tragedi yang menimpa beliau.

“Namun, dengan berulangnya kematian seorang lagi anggota PTD membangkitkan persoalan adakah pihak Jabatan Perkhidmatan Awam benar-benar belajar daripada tragedi yang lepas dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata Nik Nazmi dalam sebuah kenyataan yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider awal pagi tadi.

Menurut Nik Nazmi, beliau tidak mempertikaikan perlunya pegawai PTD cergas dari segi fizikal dan mental, akan tetapi mempersoalkan mengapa latihan fizikal terlalu mencabar sehingga membahayakan nyawa pelatihnya.

“Ramai peserta kursus-kursus ini mempersoalkan mengapakah perlu latihan fizikal yang terlalu mencabar berbanding dengan tugas mereka sebagai PTD.

“JPA harus mendedahkan kepada umum sama ada kedua-dua kes Norhashimah dan Aldy merupakan kemalangan ataupun wujud elemen kecuaian.

“JPA juga harus memikirkan semula secara serius dan menyeluruh latihan buat PTD agar lebih relevan dengan keadaan semasa dan memastikan keselamatan PTD terpelihara,” katanya lagi.

Berikutan tragedi yang menimpa Allahyarham Aldy Hasmi, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta aktiviti lasak bagi PTD dihentikan serta-merta.