Purata 98,000 orang guna KTM Komuter setiap hari
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, stesen KL Sentral mencatat purata harian tertinggi dengan 19,487 orang diikuti MidValley (6,135), Bank Negara (5,055) dan Sungai Buloh (4,072).
“KTM telah merangka perancangan lanjut dalam jangka pendek dan panjang bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan Komuter antaranya melalui inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara seperti perolehan 38 set Komuter enam koc.
“(juga) peningkatan dan penambahbaikan kemudahan di stesen Komuter, meningkat keselamatan dan menangani kesesakan di tren serta stesen Komuter,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Ong Ka Ting (BN-Kulai) di Dewan Rakyat hari ini.
Ong bertanya tentang jumlah purata pengguna KTM Komuter setiap hari dalam lima tahun ini dan perancangan selanjutnya untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan itu.
Ahmad berkata KTM Komuter beroperasi di dua sektor iaitu Tanjung Malim ke Sungai Gadut dan Batu Caves ke Pelabuhan Klang dengan kekerapan perkhidmatan antara 15 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada luar puncak.
Menjawab soalan bertulis daripada Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa) tentang keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Ahmad berkata sehingga kini SPAD menjalankan 5,431 operasi terhadap perkhidmatan pengangkutan awam darat di Semenjanjung Malaysia.
“Daripada jumlah itu, 4,380 operasi dijalankan di Lembah Klang... operasi dijalankan secara bersendiri dan bersepadu dengan agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Terdapat hampir 60 ‘hotspot’ dikenalpasti di zon tengah meliputi Lembah Klang yang perlu dikawal dan dipantau penguatkuasa. Sehingga kini 2,410 kes melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam dicatat di zon tengah,” katanya. — Bernama