Sapurakencana buat kemunculan sulung dengan premium 30 sen
KUALA LUMPUR, 17 Mei — SapuraKencana Petroleum Bhd, entiti yang baharu diwujudkan berikutan penggabungan syarikat minyak dan gas (O&G) SapuraCrest Petroleum Bhd dan Kencana Petroleum Bhd, membuat kemunculan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM2.30 sesaham, selepas mendapat premium 30 sen berbanding harga saham awal RM2.00.
“Semasa dibuka, 3.62 juta saham bertukar tangan. Ia harga yang baik. Ia berada pada paras unjuran kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Shahril Shamsuddin.
Majlis penyenaraian SapuraKencana disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, pengerusi SapuraKencana Datuk Hamzah Bakar dan naib pengerusi eksekutif SapuraKencana Datuk Mokhzani Mahathir.
Penggabungan itu dicadangkan pada Julai tahun lepas yang mewujudkan syarikat penyedia perkhidmatan O&G terbesar dan di kalangan syarikat perkhidmatan O&G kelima teratas di dunia di segi nilai aset.
Penyenaraian itu juga mencerminkan penyelesaian secara muktamad eksersais penggabungan bernilai RM11.85 bilion antara kedua-dua syarikat. — Bernama