Usahawan Melayu perlukan ‘bantuan strategik’, kata DPMM
KUALA LUMPUR, 11 Jun — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini menjelaskan, usahawan Generasi Y dan X di negara ini kurang berpengalaman dan kerajaan perlu memberikan “bantuan strategik” kepada mereka.
Sehubungan itu, DPMM beranggapan, kumpulan usahawan seperti ini harus diberikan “bantuan strategik” supaya mereka dapat mengasah bakat dan mempertajamkan kemahiran bagi memperoleh pengalaman mengurus perniagaan.
“Mereka mempunyai tenaga dan ilmu yang cukup untuk menjalankan perniagaan, namun mereka masih lagi kurang berpengalaman,” kata Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Al-Jeffri.
“Kerajaan perlu memberikan galakan kepada usahawan generasi X dan Y ini. Mereka cukup bagus. Hanya kemahiran mereka perlu di asah.”
Syed Amin, dalam sidang media hari ini menjelaskan, pihaknya amat berpuas hati dengan tindakan kerajaan dalam memperkasa ahli perniagaan Melayu di negara ini.
“Kami mendapati kerajaan telah memberikan bantuan dan kami sangat berpuas hati. Kami yakin kerajaan tidak mengabaikan orang Melayu, cuma pendekatan sahaja agak berbeza, dan kami dapat terima.
“DPMM berasa amat ber puas hati dan bersyukur dengan apa yang kerajaan buat untuk memantapkan ekonomi Melayu,” tegasnya.
Beliau turut menambah,”sejak dulu, dasar memperjuangkan dan membentuk ekonomi yang Melayu yang kukuh tidak terabai.”
Malah, Syed Amin turut memuji langkah yang dimainkan badan-badan yang bertanggungjawab memantapkan ekonomi Melayu Bumiputera seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bumiputera (PUNB) dalam memantapkan ekonomi komuniti Melayu di negara ini.
“Kerajaan memainkan peranan yang sangat bagus, kita ada PUNB, yang jadi masalah adalah “nak pergi mana selepas itu”orang muda tak tahu nak pergi mana dalam perniagaan.
“Sekarang budaya perniagaan mula fokus kepada wilayah. Kita ada ASEAN, mereka perlu di bimbing untuk melangkah ke arah itu.
“Ia memerlukan pengalaman,” tegasnya.
Sehubungan itu, DPMM melihat kesatuan NGO perlu memainkan peranan sebagai “kuasa ketiga” untuk bangunkan ekonomi negara.
“Sebelum ini kita guna kerajaan. Tapi kami lihat komponen NGO itu penting untuk bangunkan usahawan.
“Dewan bersama-sama dengan NGO ekonomi Melayu, 42 NGO, telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu sebagai usaha kami untuk membangunkan usahawan Generasi X dan Y,” tambahnya.
Jelas beliau, generasi ini berkembang pesat, dan melalui penubuhan majlis tersebut, ia faktor yang amat penting untuk mereka menggembleng tenaga dan ilmu demi pembangunan Melayu itu sendiri.