Opinion

Ayurveda: Petua panjang umur

June 11, 2012

11 JUN — Masyarakat dunia memperakukan ayurveda sebagai sistem perubatan tertua serta dipercayai akan terus digunakan hingga akhir zaman. Kenyataan ini mungkin kedengaran keterlaluan. Namun, sekiranya sejarah dan keistimewaan ayurveda diteliti, pasti akan diakui kebenaran kata-kata tersebut.

Ayurveda adalah perkataan Sanskrit yang bermakna “sains kehidupan” di mana “ayur” bermaksud “hayat” atau “hidup” dan “veda” bermakna “ilmu” atau “pengetahuan”. 

Ilmu ini diperturunkan secara lisan dari generasi ke generasi di Benua Kecil India sejak zaman dahulu. Segala maklumat ayurveda hanya dikumpulkan dalam teks bertulis sekitar lima ribu tahun lalu. Individu yang bertanggungjawab menulis teks berkenaan ialah Vyasa, seorang alim dan pakar perbuatan yang turut menulis/menyelenggarakan Mahabharata, 18 purana dan kitab-kitab veda. 

Herba-herba asli menjadi ramuan perubatan ayurveda.Maka tidak menghairankan bahawa maklumat berkaitan ayurveda juga terdapat dalam empat kitab veda terkenal budaya India iaitu Rigveda, Samaveda, Yajurveda dan Atharvaveda. 

Rigveda secara khusus turut memperkatakan mengenai hakikat kewujudan, kosmologi, penyakit, kesihatan serta teknik perubatan. Manakala Atharvaveda menghuraikan antara lain mengenai perubatan dalaman, pembedahan kepala dan leher, perubatan kanak-kanak serta sains pembiakan.

Maklumat-maklumat yang terkandung dalam kitab-kitab veda ini turut digabungkan dan diterbitkan secara berasingan; khusus untuk rujukan mana-mana pihak yang mahu mendapatkan maklumat mengenai ayurveda. Dalam kategori ini, Atreya Samhita diperakukan sebagai buku perubatan tertua di seluruh dunia.

Pakar-pakar perubatan ayurveda pada asalnya merupakan golongan ulamak agama Hindu yang turut mempunyai kepakaran perubatan. Khabarnya mereka mendapat segala pengetahuan ayurveda melalui meditasi dan bukannya melalui apa-apa kajian makmal atau dengan mencuba ubat ke atas haiwan.

Ayurveda menggunakan herba, makanan, aroma, berlian, warna, yoga, mantera, pembedahan serta tabiat/gaya hidup untuk mengubati penyakit atau masalah yang dialami. 

Tidak hairanlah pakar-pakar perbuatan dari negara China, Tibet, Rom, Mesir, Afghanistan dan Parsi dilaporkan pernah pergi ke India seawal tahun 700 Masehi untuk mendalami ilmu ayurveda lalu dibawa pulang ke negara masing-masing. Teks ayurveda juga diterjemah ke bahasa Cina dan Arab. Demikian antara fakta yang kurang diketahui khalayak di Malaysia.

Pelajar ayurveda pada masa silam turut menimba ilmu kajian logik, evolusi, yoga, moral serta teori atom. Hingga kini, pengkaji masih tertanya-tanya bagaimana Tamadun India boleh memiliki ilmu yang begitu hebat dan mendalam mengenai segala aspek kehidupan sebelum ilmu berkenaan sampai pada pengetahuan dunia Barat.

Falsafah ayurveda bukanlah suatu ilmu yang boleh difahami dengan mudah. Sebaliknya, ia amat kompleks dan mengambil masa yang sangat lama untuk memahami hanya sebahagian daripadanya. 

Namun, sekiranya dikuasai, ayurveda boleh digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit. Misalnya, masalah penghadaman, haid, berat badan, masalah kulit, selsema, alah, ostoporosis, kekejangan otot, sakit kepala, tekanan, peredaran darah, jantung serta mengatasi ketagihan arak, rokok dan dadah.

Teks klasik berkaitan ayurveda masih dikaji pakar perubatan moden. Telah disebutkan bahawa “ayur” bermakna “hayat” manakala “veda” bermakna “ilmu”. Pakar ayurveda mengatakan bahawa mereka sudah menemui ilmu untuk menambah hayat manusia. Mereka bukan pula mengatakan bahawa mereka melawan takdir. Sebaliknya, ilmu ayurveda membantu manusia menjalani hidup yang lebih sempurna dan bebas daripada unsur-unsur negatif.

Dalam perubatan ayurveda, “hayat” merupakan kombinasi “jasad”, “minda” dan “jiwa” — body, mind and soul. Ketiga-tiga unsur ini saling berkaitan dan tidak boleh dipisahkan. Perlu ada keseimbangan antara ketiga-tiga unsur berkenaan. Masalah hanya timbul apabila keseimbangan berkenaan terganggu.

Dalam konteks yang lebih luas, “alam” dan “manusia” dikatakan saling berkaitan dan perlu wujud keseimbangan antara kedua-duanya. Demikian antara maklumat menarik yang saya temui ketika membuat rujukan mengenai ayurveda menerusi pelbagai sumber primer dan sekunder.

Ternyata bahawa ayurveda sebenarnya mengajar manusia untuk mengekalkan keseimbangan jasad-minda-jiwa (body-mind-soul) serta keseimbangan alam-manusia (human-nature). Secara ringkas, ayurveda sebenarnya mengajar kita suatu gaya hidup — “a way of life”. Atas sebab itulah juga agama Hindu digelar “a way of life”.

Falsafah ayurveda menjelaskan konsep keseimbangan yang dinyatakan tadi. Ia mendedahkan bahawa penyakit muncul apabila tidak ada keseimbangan antara diri, personaliti, mental, emosi dan rohani. Keharmonian harus wujud antara unsur-unsur berkenaan bagi menjamin kehidupan yang sihat.

Ilmu ayurveda juga memperkatakan mengenai dosha iaitu tiga unsur yang dinamakan “vata”, “pitta” dan “kapha”. Interaksi antara ketiga-tiga unsur ini dipercayai menjadi asas kepada segala unsur alam.

“Vata” antara lain mempengaruhi pernafasan, peredaran darah, pergerakan, pertuturan, kreativiti serta sistem saraf. “Pitta” merujuk pada tugas penghadaman, metabolisme, penglihatan, suhu badan, keceriaan, keberanian dan sikap diskriminasi. “Kapha” pula antara lain mempengaruhi pertumbuhan, kesuburan, kesabaran, cecair badan dan pemahaman.

Interaksi antara “vata”, “pitta” dan “kapha” biasanya terpancar secara fizikal pada setiap individu. Kombinasi antara ketiga-tiga unsur berkenaan menghasilkan semacam DNA yang khusus bagi setiap individu dan itulah yang dinamakan prakruti.

Aspek ‘keseimbangan’ diberi perhatian. Prakruti bagi setiap individu adalah berbeza kerana komposisi antara “vata”, “pitta” dan “kapha” adalah berbeza. Namun, prakruti dalam diri setiap individu dianggap seimbang walaupun wujud perbezaan antara setiap individu. 

Kehadiran prakruti (semacam DNA) yang berlainan ini menjelaskan mengapa setiap individu memberi reaksi yang berbeza terhadap situasi yang sama.

Dalam bidang ayurveda, penyakit atau keadaan negatif muncul apabila keseimbangan pada vata-pitta-kapha atau body-mind-soul terganggu. DNA dalam tubuh tidak berubah tetapi prakruti (vatta-pitta-kapha) boleh mengalami perubahan mengikut pengalaman individu dan pengaruh persekitaran.

Suhu yang panas dikatakan boleh memberi kesan negatif terhadap unsur-unsur pitta seperti penghadaman, metabolisme, penglihatan, suhu badan, keceriaan, keberanian dan sikap diskriminasi. 

Udara kering dipercayai mengganggu unsur-unsur vatta seperti pernafasan, peredaran darah, pergerakan, pertuturan, kreativiti serta sistem saraf. 

Manakala air dan cecair lain memberi kesan terhadap unsur-unsur kapha seperti pertumbuhan, kesuburan, kesabaran, cecair badan dan pemahaman.

Ketidak seimbangan prakruti sesungguhnya menerima rangsangan daripada pengalaman seharian; termasuk mental, emosional, fizikal, realiti dan imaginasi. Keadaan inilah yang dikatakan menyebabkan seseorang sakit. 

Jadi, ayurveda berusaha mewujudkan semula keseimbangan prakruti. Dengan itu, ayurveda bukan ilmu perubatan di mana pesakit diberi ubat bagi mengatasi masalah atau penyakit yang dialami. 

Sebaliknya, perubatan ayurveda cuba mengembalikan keseimbangan dalam diri pesakit. Apabila keseimbangan sudah dikembalikan, tubuh pesakit itu sendiri akan mampu mengatasi segala unsur negatif atau penyakit yang dialaminya.

Perubatan ayurveda juga mementingkan aspek psikologi. Misalnya, katakan seseorang mengalami masalah mental. Maka, ilmu psikologi digunakan untuk membantu mengatasi unsur-unsur negatif dalam minda si pesakit yang menyebabkan dia sakit. Akhirnya, minda si pesakit itu sendiri akan berjaya keluar daripada keadaan sakit mental yang dialami.

Teknik perubatan bagi setiap individu adalah berbeza. Tidak ada dua individu yang boleh diubati dengan cara yang sama walaupun kedua-dua individu terbabit menghidap penyakit atau masalah yang sama. Keadaan ini adalah kerana unsur “vata-pitta-kapha” serta “body-mind-soul” yang sudah dijelaskan.

Teknik perubatan ayurveda yang dipraktikkan sejak lebih lima ribu tahun dahulu tetap berkesan sehingga kini. Teks rujukan yang dihasilkan adalah amat mendalam dan cukup teliti. Tidak hairanlah bahawa teks-teks berkenaan masih dikaji dan dijadikan panduan oleh pakar perubatan moden. Tidak hairanlah apabila ayurveda dikatakan akan terus digunakan hingga akhir zaman.

Uthaya Sankar SB gemar mendalami ilmu berkaitan budaya kaum India dan mengungkapkannya dalam Bahasa Malaysia supaya boleh difahami dan dihayati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.