Opinion

Bertuah jadi Cina Malaysia

July 04, 2012

4 JULAI — Jika tidak silap dalam debat dengan Salahuddin Ayub anjuran Sinar Harian, Datuk Saifuddin Abdullah diam tentang berat sebelah media arus perdana terutama dalam kebangsaan seperti yang dibangkitkan oleh Salahuddin, tetapi dia menyatakan betapa bebasnya akhbar-akhbar Cina menyalurkan maklumat semua pihak kepada semua.

Reaksi spontan saya ialah untungnya jadi orang Cina dan orang-orang yang menguasai bahasa Cina. Mengapa saya tidak dijadikan Cina? Dan tidak pula dihantar ke sekolah Cina atau belajar bahasa Cina.

Terasa ruginya jadi orang Melayu yang terdidik di sekolah yang tidak menggunakan bahasa penghantar Cina dan jenis sekolah yang saya belajara itu tidak mengadakan kelas bahasa Cina.

Jika saya jadi orang Cina tentulah saya juga boleh maju seperti setengah orang Cina  dalam bidang ekonomi  dan pelajaran, tetapi yang lebih untungnya saya jadi orang celik maklumat dan jadi kaum yang dapat lebih banyak maklumat dari kaum-kaum lain  di Malaysia.

Dengan pembangunan yang kerajaan Barisan Nasional capai selepas merdeka, saya terasa saya jadi kaum yang  rugi dan jadi rakyat kelas dua atau kelas tiga dari sudut peluang mendapat maklumat.

Hujah Saifuddin itu menyebabkan saya terasa pejuang-pejuang sekolah dan bahasa Cina telah membuat tuntutuan dan keputusan yang betul bagi mengekalkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan pengajaran bahasa Cina.

Adalah betul bahasa kebangsaan adalah satu dari alat perpaduan dan jika didaulatkan berupaya menjadi bahasa ilmu. Betapa ada dan ramai juga orang Cina yang mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu  menjadi  ahli ilmu, tetapi mereka lebih celik bahasa Cina yang ada padanya memberinya lebih banyak maklumat melalui media bahasa Cina.

Dan kalau orang Cina tidak bersungguh menguasai bahasa kebangsaan tidak banyak merugikan kerana muamalat di alam pekerjaan tidaklah dalam bahasa kebangsaan saja. Memadai bagi orang Cina menguasai bahasa Melayu pasar untuk berkomunikasi dengan pelanggannya yang tahu bahasa Melayu  saja.

Tanpa disedari natijah dari amalan media arus perdana dalam bahasa Melayu baik cetak mahu pun eletronik menjadikan pelanggannya jadi rakyat yang tidak bernasib dan ia tidak jadi insentif untuk kaum lain menguasai bahasa kebangsaan.

Orang Cina akan jadi seperti orang Melayu tidak mendapat maklumat yang secukup dari akhbar, TV dan radio dalam bahasa Melayu. Jika mereka tidak mempelajari bahasa Cina dan tidak mengikuti akhbar Cina, minda mereka akan  tertutup seperti orang  tua dan orang muda Melayu.

Orang  Melayu tidak dilahirkan untuk menjadi rakyat kelas dua, tetapi dengan amalan kerajaan Umno/BN mengongkong media dalam bahasa Melayu dan menolak permohonan permit penerbitan bagi mewujudkan media bebas, menjadikan Melayu rakyat yang  tidak bernasib baik kerana tidak terdedah kepada semua maklumat yang halal.

Kalau 80 peratus dari pengundi Cina menolak BN dan ramai dari warga emasnya menyertai Bersih 3.0 bukan kerana mereka perkauman sangat, tetapi minda  mereka terbuka justeru mendapat maklumat tepat dari medianya yang bebas dan adil.

Selepas mendengar dalih Saifuddin itu, saya menyesal tidak menghantar anak-anak  saya ke sekolah Cina atau belajar tuisyen bahasa Cina. Ia telah menjadikan  anak saya seperti saya juga hilang peluang  dan hak mendapatkan maklumat yang sebanyak-banyaknya. 

Supaya cucu-cucu saya tidak  dungu seperti nenek mereka, adalah menasabah mereka didaftarkan ke sekolah Cina atau mengeluarkan belanja yang lebih mengikuti tuisyen bahasa Cina di luar masa sekolah. Dengan ini cucu-cucu saya dapat bersaing dengan orang Cina segenerasi dengan mereka.

Saya tidak tahu hingga bila kerajaan hendak mengongkong media. Sebelum kerajaan membuat perubahan, saya perlu hantar cucu saya ke sekolah Cina supaya mereka nanti  tidak mengutuk saya dan ibu bapa mereka disebabkan hilang peluang mudah bersaing Cina seangkatan mereka dalam mendapatkan maklumat yang benar  dan tepat.

Kalau boleh saya mahu mereka jadi Cina Islam supaya tidak jadi rakyat yang ketinggalan. Pada masa ini peluang terbaik untuk mendapat maklumat yang banyak hanya  dalam bahasa Cina, maka menguasai bahasa Cina adalah afdzal. Biarlah orang Melayu lain kekal di sekolah kebangsaan, tetapi cucu saya jangan jadi mangsa media  Melayu yang tempang itu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.