KUALA LUMPUR, 1 Ogos ― Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 51 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 11 pagi, 1 Ogos 2012 mencatatkan 12 kawasan berada pada tahap baik, 38 kawasan berada pada tahap sederhana dan 2 stesen iaitu di Pelabuhan Kelang, Selangor (IPU 101) dan Kuala Selangor, Selangor (102) berada pada tahap tidak sihat.
Laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh “ASEAN Specialised Meteorological Centre” (ASMC) pada 31 Julai 2012 menunjukkan bilangan titik panas (hotspot) di Sumatera, Indonesia adalah sebanyak 20 titik panas. Walau bagaimanapun liputan imej satelit NOAA18 ini tidak lengkap. Dengan pengaruh angin monsun barat daya yang bertiup dari kawasan titik panas atau kawasan berlakunya pembakaran terbuka yang tidak terkawal di Sumatera telah membawa asap jerebu merentasi sempadan dan menyebabkan kemerosotan kualiti udara di kawasan pantai barat Semenanjung terutamanya di kawasan Pelabuhan Kelang.
Berdasarkan sumber maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteolorogi Malaysia, keadaan panas dan kering di rantau ini akan berpanjangan sehingga bulan Oktober 2012.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan telahpun menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri. Pada 31 Julai 2012, Jabatan Alam Sekitar telah menerima sebanyak 10 kes aduan pembakaran terbuka, yang mana 4 kes melibatkan pembakaran kecil-kecilan daripada aktiviti pertanian, 4 kes kebakaran sampah sarap dan 2 kes kebakaran belukar.Semua kes aduan tersebut telah di siasat dan diambil tindakan. Selain daripada itu Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Di samping itu, penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri dipertingkatkan.
Perintah Larangan Pembakaran Terbuka bagi kawasan di seluruh Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan pada 16 Jun 2012 serta di kawasan Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak yang dikeluarkan pada 22 Jun 2012 masih dikuatkuasakan.
SUMBER: Jabatan Alam Sekitar / Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat
Tel : 03-8886 1585 / 03-8886 1728
Faks :03-8889 4763 ― Bernama