PRU13 tahun depan? — Awang Selamat
23 SEPT — BILA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)? Itulah persoalan yang terus berlegar di kalangan rakyat Malaysia.
Jun yang diramal oleh banyak pihak dari awal tahun, ternyata meleset. September juga tidak mungkin. Tumpuan ramalan kini kepada November, Disember dan awal tahun depan.
Malah soalan bila PRU13 selalu ditanyakan kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam acara dan majlis keramaian yang dihadirinya.
Reaksi beliau biasanya dengan senyuman dan adakalanya dengan kata-kata gurauan.
Sentuhan humor, keramahan dan ketenangan Najib membuatkan beliau kelihatan tidak terganggu dengan PRU13.
Meskipun mewarisi permasalahan dan beban ekoran prestasi terburuk BN pada PRU12, Najib telah membuktikan bahawa BN ada jalan keluar dan mampu membawa kebangkitan.
Kini, atas kertas, peluang BN untuk mencapai kemenangan lebih besar pada PRU13 adalah cerah. Hari demi hari perkembangan semakin memihak kepada BN biarpun ada senarai panjang isu yang perlu ditangani segera.
Analisis terbaru pemerhati antarabangsa seperti yang dilaporkan baru-baru ini juga jelas melihat BN sebagai pilihan terbaik dari segi merit berbanding pakatan pembangkang.
Pun begitu, Najib tidak terbawa-bawa dengan semua perkembangan positif itu. Beliau tetap berhati-hati. Jumaat depan, sekali lagi kerajaan pimpinan Najib akan dinilai oleh rakyat menerusi pembentangan Bajet 2013. Awang yakin ia bakal menjadi bajet yang lebih pemurah terutama dalam menangani tekanan kos hidup rakyat.
Sudah tentu cakap-cakap tentang PRU13 akan lebih bertiup kencang selepas bajet tersebut. Awang tidak kisah bila pilihan raya mahu diadakan. Lagi cepat lagi baik, boleh meredakan politiking dan menamatkan elemen ketidaktentuan. Tetapi jika ada kewajaran untuk mengadakan PRU13, lebih lewat, itu juga bukan masalah. Pilihan raya bukan soal tarikh tetapi soal bila masa terbaik, yang Perdana Menteri sahaja akan tentukan. Apatah lagi, PRU13 dianggap ibu kepada segala pilihan raya, yang jika silap pertimbangan boleh membawa implikasi besar.
Sekiranya diadakan awal tahun depan, BN dan pakatan mempunyai lebih masa untuk membereskan hal-hal persiapan dan isu dalaman. Lebih-lebih lagi PKR yang sangat terdesak mahu PRU13 diadakan lebih lewat kerana parti itu perlu memulihkan imejnya yang merudum teruk. Pada Awang, sama ada sekarang, bulan depan atau tahun depan, majoriti rakyat sudahpun membuat pilihan di hati. Rakyat Malaysia makin jelas apa yang mereka mahukan. Tunggu sahajalah. — utusan.com.my
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.