bahasa

Abdul Rahim: Malaysia di landasan terbaik tingkatkan pertumbuhan ekonomi

Abdul Rahim meminta rakyat supaya dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan politik negara dengan bersifat tertib. – Gambar failAbdul Rahim meminta rakyat supaya dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan politik negara dengan bersifat tertib. – Gambar fail

KUDAT, 9 Dis – Malaysia berada di landasan terbaik dan berjaya menjadi negara kunjungan utama dan merancakkan aktiviti perdagangan dan pertumbuhan ekonomi yang telah membawa kemakmuran kepada rakyat dan negara, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya dapat mengekalkan keamanan dan kestabilan politik negara dengan bersifat tertib dan tidak menimbulkan kekacauan dalam berpolitik.

“Ini kerana negara yang bergolak sudah tentulah dijauhi oleh pengunjung asing dan implikasi akhirnya, ekonomi dan kebajikan rakyat juga akan terjejas,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Kampung Tanjung Kapor, dekat sini, hari ini.

Abdul Rahim turut meminta penduduk di kawasan Parlimen Kudat melibatkan diri dalam aktiviti sektor pelancongan termasuk mengusahakan program inap desa.

“Memandangkan Kudat telahpun mencipta nama sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan mampu menarik minat pelancong maka rakyat tempatan perlu merebut peluang tersebut dengan mengeksploitasi kecantikan semulajadi Kudat untuk mendapat keuntungan ekonomi,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kudat berkata kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan harus dimanfaat sepenuhnya bagi menjana pertumbuhan dan kegiatan ekonomi dan seterusnya menambah pendapatan mereka. – Bernama