Dipenjara 14 bulan kerana kesalahan memecah masuk rumah
PETALING JAYA, 19 Julai — Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memecah masuk rumah milik seorang eksekutif projek, empat bulan lepas.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid memerintahkan Mohd Faiez Isa, 25, menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Mac.
Tertuduh didakwa memasuki rumah milik Rosnani Abdul Hamid di Taman Lindungan di sini, pada 4.00 pagi, 2 Mac lalu.
Mohd Faiez didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama
Previous: BN Sabah tumpu media sosial untuk dekati rakyat
Next: Elizabeth Wong: Tanpa kerjasama kerajaan pusat, pengambilalihan SYABAS tetap diteruskan