Bahasa

Kemunculan kukuh FGV tanda keyakinan pada industri kelapa sawit, kata Dompok

SERI KEMBANGAN, 28 Jun — Sambutan yang menggalakkan terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) hari ini dengan jelas menunjukkan keyakinan jangka panjang pelabur tempatan tentang industri kelapa sawit Malaysia, kata Tan Sri Bernard Dompok.

Menteri Industri Pertanian dan Komoditi itu berkata sambutan yang diterima menunjukkan kepesatan sektor pertanian serta keyakinan terhadap tanaman kelapa sawit.

“Ia menunjukkan keyakinan terhadap tanaman ini walaupun harganya kebelakangan ini tidak banyak berubah,” katanya selepas menutup sesi Rundingan Industri Komoditi 2012 hari ini.

Saham FGV mengakhiri hari ini pada RM5.30 sesaham selepas membuat kemunculan pertama yang memberangsangkan di Bursa Malaysia pada RM5.39 apabila ia mencatatkan premium 84 sen pada harga tawaran RM4.55.

Penyenaraian tawaran awam awal kedua terbesar dunia selepas pengapungan Facebook Inc berjaya mengumpulkan US$16 bilion (RM51 bilion) dan menarik perhatian global.

Ia juga adalah satu perkembangan penting untuk negara terutamanya bagi peneroka Felda. — Bernama

Previous: FGV muncul hebat, rahmat bagi peneroka

Next: Usul tangguh sidang Dewan Rakyat turut ambil maklum tindakan pihak yang dirujuk: Pandikar Amin