Rafizi persoal penglibatan Thales, syarikat berkait skandal Scorpene dalam projek LRT Ampang
PETALING JAYA, 13 Julai — Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan penglibatan syarikat kontroversi Perancis, Thales International, yang dikaitkan dengan skandal kapal selam Scorpene dalam usaha sama dengan George Kent untuk bidaan projek penyambungan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang.
Beliau mendakwa Thales adalah sebahagian dariapada Konsortium George Kent yang dikatakan telah dianugerahkan kontrak berkenaan.
Pengarah Strategi PKR itu menjelaskan daripada lapan bidaan, tiga daripadanya adalah usahasama antara Thales dengan syarikat lain berdasarkan laporan teknikal yang dikeluarkan oleh perunding Harclow iaitu, George Kent-Wijet-Thales, Colas-CMC-Thales and Samsung-LG-Thales.
“Daripada senarai pembida, tidak ada satu syarikat pembekal teknologi pengangkutan lain dibenarkan menghantar lebih dari satu bidaan, kecualilah Thales,” kata Rafizi (gambar) dan menambah,”keistimewaan” itu adalah bercanggah dengan “amalan kontrak yang baik dalam proses tender.”
Rafizi juga mendakwa, beliau tidak menolak kemungkinan “hubungan rapat antara Thales dan Najib telah terjalin sejak pembelian Scorpene lagi.”
Merujuk kepada Thales, Rafizi menjelaskan, syarikat Perancis itu kini masih lagi disiasat pihak berkuasa Perancis atas tuduhan merasuah pihak-pihak tertentu yang rapat dengan kerajaan Malaysia dalam urusan pembelian dua kapal selam Scorpene.
Beliau juga berkata, dokumen mahkamah Perancis turut menunjukkan syarikat itu telah membuat satu transaksi kepada Terasasi, syarikat yang dikaitkan dengan bekas pembantu Najib, Abdul Razak Baginda.
Rafizi turut mengulangi dakwaannya bahawa Putrajaya telah mengarahkan projek penyambungan LRT Ampang itu diserahkan kepada George Kent, dan menuduh Najib telah campur tangan selepas konsortium berkenaan tewas bidaan.
Selasa lalu, beliau turut mengemukakan bukti salinan surat kebenaran Kementerian Kewangan bertarikh 25 Jun untuk menganugerahkan projek itu kepada George Kent.
Bagaimanapun, kerajaan masih lagi belum mengumumkan pemenang bidaan kontrak tersebut.
Keputusan awal Putrajaya adalah untuk menyerahkan projek itu kepada Konsortium Balfour Beatty-Invesys, yang menurut Rafizi lebih layak untuk mendapat kontrak tersebut.
Konsortium British itu adalah pembida terendah untuk projek LRT tersebut melalui tender terbuka yang tamat tempoh bidaan pada 16 Jun tahun lalu dengan nilai bidaan berjumlah RM950 juta berbanding RM1.45 bilion untuk jumlah tertinggi bidaan tersebut.
Previous: Noh dakwa wujud penyelewangan dalam dua projek perumahan di Sekinchan
Next: DBP akan audit penggunaan Bahasa Melayu dikalangan kakitangan kerajaan
PETALING JAYA, 13 Julai — Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan penglibatan syarikat kontroversi Perancis, Thales International, yang dikaitkan dengan skandal kapal selam Scorpene dalam usaha sama dengan George Kent untuk bidaan projek penyambungan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang.