Breaking Views

Pemimpin DAP guna DEB untuk bakar sentimen perkauman — Tun Faisal Ismail Aziz

DIS 20 — Kata Penasihat DAP, Dr Chen Man Hin "the prevalence of corruption and cronyism of the NEP (New Economic Policy) made many Umno cronies rich, but the poor Malays remained poor".

Ini adalah satu lagi siri penipuan DAP yang dimaksudkan untuk membakar semangat perkauman kaum Cina, lebih-lebih lagi apabila ucapan ini disampaikan semasa majlis makan Persatuan Hakka Negeri Sembilan (persatuan klan yang boleh dianggap sebagap satu pertubuhan bersifat rasis mengikut standard Pakatan Pembangkang) di Seremban pada 13 Disember.

Penipuan Chen, boleh kita rungkai dalam beberapa aspek. Pertama; tuduhan bahawa berlaku amalan korupsi dan kronisme dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menyebabkan kroni Umno sahaja menjadi kaya.

Penulis suka hendak menyatakan bahawa bukan orang Umno sahaja yang mendapat manfaat dari DEB, malah ramai orang Melayu dan Bumiputera, termasuk Orang Asli dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak.

Dalam bidang pendidikan misalnya, dengan 70 peratus kuota ditempatkan untuk pelajar luar bandar, ramai di antara pelajar Bumiputera mendapat peluang untuk belajar di sekolah yang mempunyai kemudahan yang lebih baik berbanding sekolah di daerah asal mereka.

Dengan kuota juga, sebelum ini, mereka mempunyai tempat untuk belajar di Institusi Pengajian Tingga Awam (IPTA) yang membolehkan mereka berpeluang menjadi golongan profesional, sesuatu yang mungkin di luar jangkauan pemikiran kebanyakan daripada mereka lebih-lebih lagi jika diambil kira kemampuan kewangan ibu bapa mereka.

Dalam kalangan mereka ini, termasuklah ramai anak-anak dari negeri Kelantan yang majoriti ibu bapa mereka diketahui sejak 20 tahun yang lalu menyokong PAS.

Melalui pendidikan, ramai Melayu dan Bumiputera luar bandar, di kampung dan di kawasan tanah rancangan seperti Felda yang mampu menaikkan taraf hidup mereka hanya selepas satu generasi sahaja.

Kedua, penipuan Dr Chen juga dapat kita kenal pasti jika kita mengambil kira siapa sebenarnya yang menguasai pasaran barangan mentah atau raw materials di dalam negara ini.

Tahukah kita semua bahawa kaum yang menguasai pasaran barangan mentah ini boleh menentukan siapa (termasuk syarikat Ali Baba mereka) yang akan memenangi tender kerajaan melalui perlindungan harga?

Penjawat awam yang mentah dalam selok belok perniagaan dan yang berkepntingan diri seringnya akan terperangkap dengan menjadikan DEB lebih memihak kepada kaum Cina.

Selain itu perlindungan juga wujud dalam pasaran yang kononnya terbuka melalui perbezaan harga dan terma kredit terhadap peniaga dari kaum lain.

Ketiga, bukan sahaja kontraktor Umno sahaja yang menerima manfaat dari DEB, malah kontraktor bukan Umno dan ramai kontraktor yang menyokong pembangkang juga mendapat manfaat dari dasar ini.

Ramai di antara mereka berada di sekeliling kita dan di tempat kelahiran penulis misalnya, ada ahli PAS yang merungut kerana lebih banyak peluang perniagaan diberi kepada penyokong parti pembangkang yang selain dari PAS semasa tempoh pembangkang memerintah Perak sedangkan peluang mereka lebih baik semasa Barisan Nasional memerintah negeri itu.

Bekas calon pembangkang di Bagan Pinang juga dikatakan pernah menerima kontrak daripada kerajaan walaupun dia menyokong pembangkang.

Keempat, maksud Dr Chen mempertikaikan DEB ini adalah untuk mempromosikan dasar ekonomi terbuka yang kononnya akan memakmurkan Malaysia.

Apakah maksud Dr Chen, dengan dasar ekonomi terbuka ini nanti, "Melayu yang miskin akan secara automatik menjadi kaya?"

Penulis melihat saranan Dr Chen ini hanyalah untuk memastikan ketamakan golongan kapitalis dipenuhi.

Golongan kapitalis ini berhasrat untuk menguasai ekonomi negara dan yang pastinya, golongan yang miskin dan tidak berdaya termasuk dari kalangan kaum lain akan terus ketinggalan dari kemajuan dan kemakmuran yang dijanjikan.

Dari bacaan penulis, Dr Chen, walaupun dari sebuah parti yang kononnya memperjuangkan sosialisme, perkataan dan hasratnya bukanlah berjiwa sosialis tulen. Sebaliknya nadanya lebih mirip kepada jiwa dan naluri seorang kapitalis.

Bagi penulis ini adalah kepura-puraan yang sedang dipertontonkan kepada rakyat. Mereka yang kurang teliti akan diperdayakan.

Seperti ramai orang PAS yang hipokrit di bawah topeng agama Islam, penulis melihat ramai kapitalis dan rasis yang hipokrit bersembunyi di bawah topeng sosialis DAP. — pemudaumno.org.my

Previous: Retorik parti pembangkang — Zulkiflee Bakar

Next: The Pakatan Rakyat surprise – The Malaysian Insider