Karma, atma dan samsara (Bahagian 2)
14 MEI — Masyarakat India pada umumnya membahagikan “karma” kepada tiga bentuk iaitu “prarabdha karma”, “sancita karma” dan “agami karma”.
“Prarabdha karma” merujuk pada “karma” yang dikumpul pada kelahiran lalu dan kesannya ditanggung pada kelahiran ini. “Karma” jenis ini sudah pun ditetapkan berdasarkan “karma” terkumpul dan tidak boleh diubah.
Contoh terbaik “prarabdha karma” adalah jantina, ibu bapa, warna kulit dan keturunan. Semua ini tidak boleh diubah. Misalnya, apabila seorang individu kaum India beragama Hindu memeluk agama lain, dia tetap kaum India kerana “prarabdha karma” tidak berubah apabila dia mengubah agama yang dianuti.
“Sancita karma” pula merujuk pada kesemua “karma” yang terkumpul pada kesemua kelahiran lalu. Perlu diingatkan, masyarakat India percaya bahawa kelahiran, kehidupan dan kematian adalah proses yang berterusan. Maka kesemua “karma” terkumpul pada kesemua kelahiran lalu akan memberi kesan terhadap kelahiran terkini.
Mahabharata dan Bhagavadgita mengungkapkan ajaran berkaitan “karma”.Itulah sebabnya, menurut kepercayaan masyarakat India, ada individu yang memiliki sikap positif secara semula jadi sedangkan ada pula individu yang memiliki sikap negatif secara semula jadi. Sebenarnya, sikap itu bukan semula jadi tetapi adalah akibat “sancita karma”.
Berbeza dengan “prarabdha karma” yang tidak boleh diubah, “sancita karma” dikatakan boleh diubah dan diperbaiki. Misalnya, seorang individu yang secara semula jadi memiliki sifat panas-baran boleh berusaha mengubah keadaan itu. Seorang individu yang suka mencuri masih boleh berusaha untuk bertaubat.
Bentuk ketiga adalah “agami karma” yang merujuk pada “karma” yang sedang dikumpul oleh seseorang pada kehidupan/kelahiran sekarang. Kesan daripada perbuatan dan gaya hidup kita khabarnya hanya akan dapat dirasai pada kelahiran akan datang.
Dengan demikian, “agami karma” pada kehidupan ini akan menjadi stok bagi “prarabdha karma” bagi kehidupan akan datang serta “sancita karma” bagi beberapa kehidupan seterusnya. Demikian kepercayaan dalam budaya India sejak ribuan tahun dahulu.
Jumlah “samsara” atau kitaran kelahiran semula tidak diketahui. Masyarakat India percaya bahawa berapa kali seorang individu lahir semula ke dunia ini adalah ditetapkan oleh “karma”; khususnya “prarabdha karma” dan “sancita karma”. Maka, kelahiran dan kehidupan masa kini tetap ada kaitan yang sangat erat dengan kelahiran dan kehidupan lampau.
Jika dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) atau sebagai binatang yang sentiasa bernasib malang, semua itu bukan bermakna Tuhan bersikap kejam terhadap ciptaan-Nya. Sebaliknya, keadaan itu adalah disebabkan “karma” insan itu sendiri. Demikian salah satu kepercayaan dalam budaya India.
“Karma” boleh diubah dengan ilmu dan taubat. Jika seorang individu menyesali perbuatannya dan bertaubat serta mula berbuat baik, maka kesan positif akan diterima sebagai “karma”. Dengan itu, “sancita karma” dan “agami karma” boleh diubah jika usaha dilakukan oleh individu terbabit.
“Agami karma” akan menjadi stok bagi “prarabdha karma”.Masyarakat India percaya bahawa “nasib” yang ditentukan oleh “sancita karma” dan “agami karma” boleh dibaiki jika ada kemahuan. Malah, “takdir” atau ketetapan Tuhan juga dikatakan boleh diubah kerana masyarakat India percaya bahawa Tuhan akan membantu insan yang cuba mengubah nasib dan takdir dirinya.
Daripada penjelasan ini, nyatalah bahawa konsep “karma” dalam budaya India bukan bertujuan memberi kesan negatif dalam jiwa dan minda. Itulah juga yang cuba saya paparkan menerusi makalah yang sangat asas ini.
Pada pandangan mata kasar, mungkin ada yang berpendapat bahawa konsep “karma” yang menjadi pegangan masyarakat India menyebabkan mereka kurang berusaha mengubah nasib diri, kononnya kerana nasib yang dialami kini adalah disebabkan “karma” yang ditanggung daripada kelahiran lalu.
Sebaliknya, konsep “karma” yang sebenar bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa melakukan kebaikan agar mendapat “pulangan” yang positif serta mencapai kedudukan lebih tinggi dalam skala “samsara” iaitu lingkaran kelahiran, kehidupan dan kematian.
Contohnya, katakan seorang lahir sebagai insan buta. Mengikut kepercayaan masyarakat India, kejadian itu bukan bermakna Tuhan bertindak tidak adil dengan menjadikan insan itu buta.
Ada banyak buku yang mengkaji konsep “karma” dan kelahiran semula.Sebaliknya, orang itu lahir buta disebabkan “prarabdha karma” dan “sancita karma” di mana “karma” itu dikumpul dan ditetapkan oleh insan itu sendiri pada kelahiran lalu.
Mengapa pula kelahiran pada kali ini perlu menanggung penderitaan akibat perbutan negatif pada kelahiran lalu? Mungkin ada yang akan bertanya demikian.
Dalam hal ini, perlu ditegaskan semula bahawa mengikut kepercayaan tamadun India, “atma” atau “jiwa” hanya hidup sekali; tetapi ia melalui “samskara” berulang kali berdasarkan “karma” yang terkumpul.
Mungkin timbul pula pertanyaan berapa kali seorang insan akan lahir semula di bumi sebelum mencapai “moksha” atau “nirvana” dan kembali kepada Tuhan. Tiada jawapan yang tetap kerana jumlah “samskara” bergantung pada “karma” individu tertentu.
Bagaimanapun, sekiranya seorang individu berpegang pada konsep “karma”, maka dia pasti akan melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Daripada kedudukan yang tidak baik, dia akan mencapai kedudukan baik; seterusnya mencapai kedudukan lebih baik lagi.
Akhirnya, “atma” akan bebas daripada lingkaran “samsara” dan kehidupan duniawi, lalu kembali bersatu dengan Pencipta. Bagi masyarakat India, mereka percaya bahawa matlamat akhir kehidupan adalah untuk mencapai “moksha”, manakala “karma” hanyalah wahana ke arah itu.
Ternyata, hukum “karma” dalam budaya India menjadi panduan kepada orang ramai untuk melakukan kebaikan dan bukan dilihat sebagai satu bentuk hukuman.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Previous: Last-gasp City make it a terrific finish


