Kembalikan kewarasan dan kesederhanaan dalam segala tidak-tanduk kita
20 MEI — Senario semasa di negara kita nampaknya semakin merimaskan. Hari demi hari, ada sahaja laporan akhbar yang memaparkan pelbagai berita menarik mengenai seseorang pemimpin politik, parti yang disertai dan tindak-tanduk mereka.
Menariknya, apa yang dipaparkan oleh media-media kita ada kalanya cukup dramatik, penuh warna-warni dan tidak ketinggalan juga berita yang bukan bertaraf “nilai berita.”
Jika berita mengenai seseorang pemimpin politik keluar parti atau sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap seseorang individu boleh dianggap sebagai nilai berita, bagaimana pula dengan tindakan sekumpulan individu melakukan demonstrasi di hadapan rumah bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia baru-baru ini?
Bentuk demonstrasi yang dilakukan itu pula nampaknya janggal sedikit. Bukan berarak, bukan juga merempuh tetapi sekadar menjual burger, melakukan senaman punggung dan selepas ini menjual tosai di hadapan rumah individu yang dimaksudkan.
Jelas sekali, budaya balas-membalas atau “tit for tat” semakin menular dalam kalangan masyarakat kita. Semangat tolak-ansur dan saling faham-memahami antara satu sama lain yang selama ini menjadi tunjang utama kepada keharmonian negara tercinta, kian terhakis.
Apa sahaja yang dirasakan tidak betul akan segeranya dibalas dengan tindak-tanduk yang serupa — berdemonstrasi, membuat laporan polis dan cabar-mencabar.
Pastinya, rakyat tidak akan mendapat apa-apa daripada penularan budaya balas-membalas itu. Yang akan diperolehi nanti hanyalah jurang pemisahan dan perasaan syak-wasangka yang semakin melebar antara rakyat sekaligus menidakkan segala usaha murni kerajaan untuk menyatupadukan negara.
Malangnya, apa yang tidak disedari mereka tindakan berkenaan sebenarnya tidak banyak membantu. Sebaliknya, ia hanya mendedahkan kecetekan dan kedangkalan pemikiran kumpulan penganjur demonstrasi itu untuk meraih simpati dan perhatian umum.
Persoalannya disini, apakah itu merupakan langkah terbaik untuk menyelesaikan sesuatu isu berbangkit? Kenapa perlu berdemonstrasi di hadapan rumah orang awam? Perlukah mereka meletakkan dirinya ke tahap yang begitu rendah?
Malah Ahli Parlimen Rembau sendiri, Khairy Jamaluddin turut melahirkan rasa kurang senangnya dengan perkembangan semasa itu sambil mempersoalkan apakah akan ada demonstrasi menjual nasi lemak di hadapan kediaman Perdana Menteri selepas ini?
Bagi kumpulan-kumpulan NGO yang ingin mengadakan demonstrasi terhadap individu tertentu di masa hadapan, satu nasihat kepada mereka gunakanlah pendekatan yang lebih logik dan bijak. Tunjukkan kepada umum bahawa segala tindakan itu benar-benar menggambarkan status mereka sebagai pihak yang dihormati, bukan sebaliknya.
Tidak salah untuk mereka melakukan demonstrasi tersebut tetapi bentuk demonstrasi yang dianjurkan haruslah berpada-pada dan sesuai dengan norma masyarakat negara ini. Janganlah kerana terlalu marah, segala kewarasan dan kesederhanaan diketepikan.
Kalau tidak berpuas hati dengan individu yang dimaksudkan itu, saman sahaja tokoh tersebut di mahkamah bagi menuntut pampasan di atas kerugian akibat demonstrasi jalanan yang diketuai individu terbabit.
Jika tindakan saman masih tidak memadai, apa kata penganjur siri demonstrasi itu berdebat dengan individu yang disasarkan. Sekurang-kurangnya melalui pentas debat, kedua-dua pihak boleh memberikan hujah untuk mempertahankan tindakan masing-masing.
Sama ada hujah kedua-dua pihak diterima atau tidak, itu kita serahkan kepada rakyat untuk menilainya. Yang pastinya, jika pertelingkahan berterusan, hanya ada satu kesudahan nyata di hadapan kita.
Oleh itu, daripada terus cabar-mencabar atau bergaduh di platform awam tanpa suatu hala tuju jelas, lebih baik tenaga tersebut dicurahkan untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada negara.
Setiap isu yang berbangkit sudah pasti mempunyai jalan penyelesaiannya. Cuma, apakah kedua-dua pihak yang bertelagah bersetuju untuk duduk semeja untuk berdebat? Bersediakah mereka untuk mengetepikan ego demi kepentingan jangka panjang?
Ayuh, marilah semarakkan kembali kewarasan dan kesederhanaan dalam apa jua tindakan yang kita lakukan!
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
Previous: The Hong Kong tai tai