Opinion

Nating (Bahagian 2)

20 OGOS — Orang ramai semakin yakin pada calon berkenaan. Setelah sekian lama termakan pujukan dan retorik politik yang tidak berkesudahan, akhirnya muncul calon yang mampu memberikan apa yang diharapkan: Nating.

Bayangkan jika telah ada wakil rakyat yang berani memberikan Nating kepada penduduk Siru Kambam sebelum ini. Pasti kampung kecil ini sudah semaju Putrajaya dan Cyberjaya! 

Malangnya, apa yang ada selama ini hanyalah wakil rakyat yang hanya pandai bercakap tetapi liat melaksanakan permintaan rakyat.

Sebenarnya, itulah sahaja harapan rata-rata penduduk Siru Kambam sejak dahulu. Kami sudah masak dengan perangai dan kemampuan calon beberapa parti politik dan calon bebas. Bermacam-macam dijanjikan tetapi tidak satu pun mampu dilaksanakan. Semuanya janji capati; janji Melayu.

Namun, pada kali ini, rata-rata penduduk Siru Kambam yakin bahawa calon ini akan mengotakan janji. Janji ditepati. Apa yang tertera pada poster kempen pilihan raya pasti akan menjadi realiti sebaik sahaja dia menang majoriti.

Bayangkan jika ada wakil rakyat yang berani memberikan Nating kepada penduduk Siru Kambam!Bayangkan jika ada wakil rakyat yang berani memberikan Nating kepada penduduk Siru Kambam!Entah mengapa, penduduk amat yakin. Bukan kerana termakan pujukan dan retorik politik. Entahlah; entah apa puncanya. Apa yang pasti, kami sudah ketemu calon terbaik untuk menjadi wakil kami di Dewan Rakyat.

“Sejak dahulu, parti saya memang mendengar segala keluhan dan suara rakyat. Kami tahu bahawa anda rata-rata kecewa dengan pencapaian mendiang Yang Berhormat,” kata calon pilihan dengan nada serius.

Ceramahnya tidak lagi didengar dengan tekun oleh sekelompok penduduk yang lebih berminat mendapatkan poster yang diedarkan. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang memiliki poster tersebut yang juga merupakan pernyataan manifesto parti.

“Wah!” Seorang pemuda terpegun sambil matanya terbeliak melihat apa yang dipaparkan pada poster.

“Memang inilah sumbangan tertinggi yang boleh diberikan,” seorang lagi penduduk memberitahu rakannya.

“Setelah banyak kali mengundi pada pilihan raya, kita sudah bijak memilih calon terbaik yang akan memberikan apa yang boleh diharapkan,” seorang warga emas pula meluahkan pandangan.

“Calon lain hanya mampu menjanjikan itu dan ini. Calon lain hanya boleh memberikan kemudahan yang bersifat sementara. Calon lain kurang memahami hati budi anda semua,” bergema semula suara pada corong pembesar suara.

Pada saat yang sama, di bahagian lain Siru Kambam dan kawasan sekitarnya, beberapa orang kuat bagi beberapa calon lain sedang berusaha meyakinkan penduduk bahawa apa yang dijanjikan oleh calon PPI hanyalah janji kosong semata-mata. Janji dicapati.

“Jangan mudah terpengaruh. Apa-apa yang tertera pada poster itu adalah penipuan semata-mata. Mustahil mana-mana wakil rakyat boleh memberikan Nating kepada penduduk Siru Kambam,” seorang tukang pancing undi cuba meyakinkan sebuah keluarga. 

“Bukannya kerja mudah bagi sebuah parti politik — pemerintah, pro-pemerintah, pembangkang mahupun pro-pembangkang — untuk merealisasikan Nating. Pengorbanan dan komitmen yang terlalu hebat diperlukan untuk menjadikan Nating suatu realiti. Mustahil mana-mana parti politik mampu merealisasikan kewujudan Nating. Negara kita belum bersedia ke arah itu. Rakyat negara ini belum mampu menangani realiti kewujudan Nating.”

Pujukan dan rayuan beberapa peraih undi berkenaan bukannya tidak membuahkan apa-apa hasil. Memang ada beberapa penduduk — yang layak mengundi, yang belum layak mengundi, atau yang layak tetapi tidak mahu mengundi — mula memikirkannya secara serius.

Sudah 55 tahun negara merdeka namun tidak sekali pun mana-mana wakil rakyat atau parti (pemerintah/pembangkang) menjanjikan Nating. Sentiasa ada sesuatu yang dijanjikan. Sentiasa ada sesuatu yang diberikan. Sentiasa ada yang dijanjikan tetapi kemudian tidak dapat dilaksanakan atas alasan itu dan ini.

Namun, buat kali pertama, seorang calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri — dengan sokongan kuat parti yang diwakili, tentunya — berani tampil menjanjikan Nating.

Memang tidak mudah. Malah, hampir mustahil dapat dilaksanakan. Mungkin pernah diusahakan oleh parti pemerintah, parti pembangkang atau wakil-wakil rakyat secara individu atas inisiatif sendiri. Namun, tidak ada apa-apa hasil yang nyata. Nating belum terlaksana. Nating hanya konsep yang belum wujud.

Tidak diketahui sejak bila penduduk Siru Kambam mula mengimpikan Nating. Tidak diketahui juga adakah ini hanya impian penduduk di kampung kami atau turut menjadi impian penduduk di kawasan lain.

Kalaulah penduduk kawasan lain juga mengimpikan perkara sama, bayangkan apa yang boleh berlaku jika calon PPI menang di Siru Kambam dan berjaya merealisasikan kewujudan Nating!

Pasti sahaja kejayaan itu akan bermain di bibir orang ramai. Nating bukan lagi sebuah impian, sebaliknya sebuah realiti. Tentu sahaja penduduk kawasan lain akan membuat permintaan yang sama kepada wakil rakyat mereka.

“Kalaulah Nating sudah menjadi realiti di Siru Kambam, mengapa tidak di kawasan kita? Mengapa tidak di seluruh negara?” Mungkin orang ramai akan mula bersuara membuat tuntutan.

“Kalau Yang Berhormat tidak mampu memberikan Nating kepada kami dengan segera, maka kami tiada pilihan, selain memilih calon lain pada pilihan raya umum akan datang.” Mungkin penduduk akan mula berani mengeluarkan kenyataan yang bernada tegas dan mengugut.

Mungkin itu juga sebabnya peraih undi beberapa parti lain cuba meyakinkan penduduk Siru Kambam bahawa Nating tidak mungkin menjadi realiti. Pasti mereka bimbang bahawa sebaik sahaja Nating mula terlaksana di Siru Kambam, impian yang sama akan mula menular ke seluruh negara.

Bayangkan kewujudan Nating pada peringkat kebangsaan! Semuanya akan bermula dengan keputusan pilihan raya kecil di Siru Kambam pada minggu depan. — Tamat

* Uthaya Sankar SB lahir dan membesar di Taiping, Perak. Kini beliau pengundi berdaftar di DUN Sri Muda dan Parlimen Kota Raja, Selangor.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Previous: Better commercialisation than communism

Next: Himpunan Bersih boleh jika Nazri menterinya