Biasiswa bukan medan tohmahan kaum — Rejal Arbee
26 MEI — Nampaknya persoalan pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang tidak berkesudahan dengan MCA pula membuat tohmahan wujud ketidakadilan dalam pemilihan yang dilakukan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Gambaran yang jelas dibuat ialah pelajar Cina yang mendapat keputusan cemerlang tidak diberi pertimbangan, sedangkan pelajar mendapat keputusan kurang cemerlang daripada mereka itu pula dipilih JPA menerima biasiswa. Walaupun MCA menerusi Ketua Pemudanya, Datuk Dr Wee Ka Siong, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran tidak secara terus-terang membuat tohmahan wujud pertimbangan secara perkauman, tetapi bila diteliti kenyataannya inilah sebenarnya yang tersirat.
Persoalannya ialah kenapa MCA yang bukannya tidak mempunyai saluran mengemukakan rungutannya secara rasmi, tetapi memilih mempolitikkannya. Ini hanya MCA yang boleh beri jawapan.
Pemberian biasiswa ini sentiasa menimbulkan rasa tidak puas hati, lebih-lebih lagi di kalangan bukan Melayu. Apakah Melayu membolot semuanya, maka tidak timbul rungutan daripada orang Melayu bahawa anak mereka juga tidak menerima biasiswa, walaupun mendapat keputusan cemerlang?
Mungkin masanya sudah tiba bagi UMNO sendiri mendapatkan data mengenai anak Melayu yang gagal menerima biasiswa, walaupun mempunyai keputusan cemerlang seperti dilakukan MCA supaya tidak timbul lagi tohmahan berlakunya pilih kasih berdasarkan perkauman.
Seorang rakan memberitahu bahawa ada ramai juga anak Melayu yang memperoleh keputusan cemerlang misalnya dari sekolah menengah agama dan juga sekolah kelolaan pelbagai yayasan seperti Yayasan Islam Kelantan gagal menerima biasiswa JPA.
Beliau menyebut seorang cucu saudaranya yang mendapat 11A+ dan seorang lagi 9A+ menerima bantuan melanjutkan pelajaran matrikulasi dan sains asasi saja tidak seperti apa yang dimohon. Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan itu mereka menerimanya saja, tidak seperti apa yang dibangkitkan pelajar Cina melalui Ka Siong.
Usaha MCA dengan tohmahan yang tersirat itu tentunya tidak membantu usaha mewujudkan fahaman rasional di kalangan rakyat. Malangnya berikutan pelbagai perkembangan akhir-akhir ini yang digembar-gemburkan sesetengah akhbar bukan Melayu, portal berita tertentu yang menggambarkan mereka kononnya bebas, tetapi sebenarnya jauh menyimpang dan blog yang melampau hingga boleh mewujudkan reaksi timbal balas pula.
Kini DAP pula sudah hendak menumpang sekaki apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng minta tindakan diambil ke atas pegawai JPA yang membuat keputusan.
Perkara demikian jelas menunjukkan bahawa tebalnya perasaan perkauman di kalangan rakyat negara ini. Tidak habis-habis kita boleh membaca persoalan ini yang dimuatkan dalam media bukan Melayu serta portal berita mahupun pelbagai blog demikian. Persoalan saya apa nak jadi kepada negara ini, jika usaha untuk menyamaratakan padang untuk semua rakyat tidak diberi sokongan yang sepatutnya.
Kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sudah pun memberikan angka terperinci yang jelas menunjukkan tohmahan tersirat MCA itu tidak berasas.
Kita bersimpati dengan pelajar yang tidak berjaya dipilih menerima biasiswa kerajaan atau mengikuti jurusan pengajian pilihan mereka, tetapi mereka jika hendak tentunya masih boleh memperoleh biasiswa dari pelbagai pertubuhan dan yayasan bukan Melayu yang wujud sekarang ini.
Nazri menjelaskan bahawa kerajaan menyediakan 4,000 biasiswa tahun ini, 1,500 bagi program ijazah luar negara dan 2,500 untuk program dalam negara. Daripada jumlah itu 2,183 (55 peratus) diberikan kepada pelajar Bumiputera dan 1,817 (45 peratus) kepada pelajar bukan Bumiputera.
Nisbah ini tidak pun menyamai nisbah kedudukan kaum bagi keseluruhan penduduk rakyat negara ini yang mana lebih daripada 60 peratus adalah rakyat Bumiputera. Apakah ini pun tidak adil?
Mungkin kaedah pemilihan boleh diperbaiki dengan memberi pertimbangan kepada latar belakang keluarga pemohon, misalnya markah lebih diberikan kepada yang miskin baik dari bandar atau pun luar bandar dan markah juga diberikan kepada kegiatan kokurikulum tanpa mengira kaum.
Beliau juga menjelaskan pemilihan ialah berdasarkan empat kategori yang sudah diguna pakai sejak ia ditetapkan Kabinet pada 2009 lagi, iaitu pada kaedah kecemerlangan akademik (20 peratus), populasi kaum (60 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (masing-masing lima peratus) dan orang kurang upaya (OKU) 10 peratus. — Berita Harian
* Penulis ialah Felo Kanan UKM
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.
Previous: Is Malaysia Australia’s dumpsite? — The Malaysian Insider