Side Views

Bila tarikh Parlimen akan dibubar? — Sivamurugan Pandian

12 JUN — Sejak tahun lalu, teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) sering kedengaran dan desus-desus tarikh keramat merayakan demokrasi ini semakin hari semakin rancak menjadi bualan.

Malahan, ada yang pernah menamakan 2011 sebagai tahun pilihan raya walaupun saya pernah menulis bahawa 2011 adalah tahun persediaan pilihan raya dan “pelaksanaan manifesto — Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” untuk berhadapan dengan slogan “Ubah Sekarang dan Selamatkan Malaysia” barisan pembangkang.

Saya juga pernah menulis bahawa “Dalam Pilihan Raya Umum (PRU-13) mereka tidak lagi boleh menyalahkan pengundi hantu atau memilih untuk melihat kelemahan lawan semata-mata. Kekuatan pembangkang sendiri akan menjadi asas ukuran. Barisan Nasional (BN) juga perlu mencari kekuatan.”

Cabaran besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah untuk memobilisasi sokongan bertunjangkan kekuatan BN supaya mandat pilihan raya dapat digunakan untuk meletakkan landasan perjalanan beliau dalam meneruskan transformasi tanah air.

Menjejaki separuh kedua 2012, spekulasi tahun 2011 masih berterusan. Jika 11 November 2011 dikatakan menjadi pilihan awal; kemudiannya ia berubah kepada 9 Jun 2012 dengan tarikh spesifik untuk penamaan calon pada 26 Mei.

Spekulasi itu menjadi-jadi walaupun Najib berangkat ke luar negara pada pertengahan Mei 2012. Tarikh yang diramal juga tidak ada sensitiviti ke atas Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta perayaan Pesta Keamatan dan Hari Gawai; meraikan perayaan kepelbagaian etnik di Sabah dan Sarawak.

Kini, ada yang mencongak sama ada sebelum bermulanya Ramadan, 21 Julai ataupun selepas masyarakat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Jika sebelum, maka Najib, selaku Pengerusi BN dikatakan akan membuat keputusan selepas Perhimpunan Raksasa BN dan membolehkan PRU diadakan pada 7 atau 8 Julai.

Ada juga menaruh harapan agar ia tidak dibubar sebelum Ramadan kerana merasakan beberapa perkara perlu disiapkan dan menaruh harapan ia diadakan pada September 2012 supaya perjumpaan sambutan Hari Raya dapat mengeratkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat umum. Malahan, ia juga membolehkan titah ucapan Hari Kemerdekaan yang ke-55 dan pertama buat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Walaupun begitu, 11 September pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan mula menduduki peperiksaan dan Belanjawan 2013 akan dibentangkan pada 28 September.

Ia diikuti dengan Hari Raya Haji pada 26 Oktober yang turut akan melihat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diadakan pada bulan yang sama manakala peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada November.

Apakah tempoh masa antara pembentangan belanjawan dan Hari Raya Haji merupakan pilihan baru? Atau Mac 2012 antara tarikh spekulasi awal kini menjadi Mac 2013; sebagaimana 11 November 2011 menjadi 11 November 2012 (hari Ahad) dan dua hari sebelum Deepavali? Bolehkah perhimpunan agung parti komponen yang antaranya barangkali ada pemilihan ditangguhkan lagi? Adakah kini winnable timing lebih penting daripada winnable candidate?

Beberapa faktor penarik dan penolak akan dinilai Najib serta pasukannya sebelum memutuskan tarikh keramat ini walaupun ada dalam kalangan pemimpin serta parti lawan tidak setuju wujudnya kuasa mutlak sedemikian rupa di bahu Perdana Menteri.

Sepanjang Najib menerajui kepimpinan kerajaan, beliau memastikan Pelan Transformasi yang menjadi agenda besar di bawah konsep 1 Malaysia menjadi realiti dan bukan omong kosong. Maka, “Janji Ditepati” memperincikan pencapaian sistem penyampaian beliau sebagai seorang Perdana Menteri yang mendengar kemahuan dan keperluan umum.

Dalam tempoh masa tiga tahun, kad laporan yang dipapar menunjukkan komitmen beliau ke atas keseluruhan anggota masyarakat merentasi kumpulan etnik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Siri jelajah “Janji Ditepati” membolehkan beliau menyampaikan pencapaian kerajaan dan bagaimana manifesto 2008 dan untuk PRU Ke-13 sudah dipenuhi.

Parti bergantung kepada mereka yang bukan “ahli parti” tetapi “orang parti” yang ada nilai kesetiaan, keazaman, motivasi dan lebih daripada itu, ada jati diri parti serta menginsafi perjuangan parti.

Ada ahli parti yang tidak ikhlas dan menjadi anggota parti semata-mata untuk mendapat habuan, kedudukan dan pangkat diri sendiri.

Dalam PRU lalu, apa yang berlaku adalah “undi protes” ahli sendiri kerana kecewa, marah dan mahu memberi pengajaran kepada pemimpin yang bongkak dan angkuh.

Hari ini, Najib cuba merapatkan barisan dalam Umno dan berusaha memastikan parti komponen juga memiliki iltizam sama. Dilema yang dihadapi adalah apakah persiapan parti komponen bersifat retorik dan kosmetik sahaja?

Jika tidak, parti komponen lain wajar menampakkan kematangan pengalaman seni berpolitik tanpa terlalu bergantung kepada populariti Najib atau sekurang-kurangnya memastikan satu undi kepada BN boleh terhasil daripada pengiktirafan yang diberikan kepada kewibawaan Najib.

Di samping prestasi kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta penstrukturan parti, tarikh PRU hanya boleh diumum selepas saringan pemilihan calon dilakukan dengan penelitian menyeluruh.

Apa sahaja yang dicapai melalui prestasi di peringkat pusat dan negeri akan hanyut begitu sahaja jika pemilihan calon masih ditakuk lama.

Saya selalu menjadikan pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon di Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang sebagai contoh. Ini kerana, walaupun beliau disabit kesalahan oleh parti dan dihukum, Isa terus popular ketika dipilih sebagai calon.

Pengundi daripada semua kelompok etnik memberikan sokongan dan lebih daripada itu, kesemua parti komponen BN hanya mencalonkan Isa sebagai wakil mereka walaupun ada pelbagai puak penyokong yang mendokong personaliti tertentu di Negeri Sembilan.

Kesepaduan dan kemuafakatan yang ketara dalam jentera parti memudahkan tanggungjawab calon, jentera, penyokong serta ahli dan pengundi walaupun pelbagai serangan peribadi dituju kepada beliau.

Apakah 222 kawasan Parlimen mempunyai calon yang popular dalam parti, diterima di luar parti dan membuat pengundi gembira dengan pemilihan yang akan dilakukan?

Tarikh PRU walaupun bergantung kepada pencapaian kerajaan, penstrukturan parti, isu dan calon; ramai selalu bertanggapan kelemahan lawan turut akan dijadikan sandaran. Saya melihat bagaimana untuk memperbaiki kelemahan sendiri dengan isu yang bersifat defensif kerana isu kelemahan lawan hanya satu nilai tambah dan bukan kelebihan mutlak.

Pada 1999, banyak isu menjadi permainan persepsi politik termasuk isu Perdana Menteri bukan Melayu yang dimainkan oleh pemimpin utama parti pembangkang sehingga PRU 1999 diumumkan pada November tahun tersebut.

Selepas PRU itu, pemimpin pembangkang tersebut menyatakan bahawa beliau berniat menjerat Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri supaya segera mengadakan PRU dengan kenyataan itu, sedangkan beliau tidak menyatakan secara ikhlas bahawa pemilihan Perdana Menteri walaupun bukan Melayu mestilah seorang Islam.

Namun, BN menang majoriti dua pertiga kerana Dr Mahathir adalah strategis dengan sendirinya. Akhir-akhir ini, jerangkap yang sama juga dilakukan kembali tetapi Najib amat berhati-hati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Penentuan tarikh pilihan raya adalah kuasa Perdana Menteri. Walau spekulasi berterusan, akhirnya pujukan umum dan lawan tidak mungkin dapat mempengaruhi Najib.

Apa pun, kini tarikh tersebut amat penting kerana segala pakej dan penjenamaan yang dilakukan sepanjang kepimpinan beliau akan dinilai dalam satu hari.

Selagi gendang keyakinan tidak dipapar oleh “orang parti”, pilihan raya boleh tunggu sehingga tamat tempoh matangnya walaupun krisis global tidak bersama Malaysia kerana ia berhadapan dengan perang; senjata perlu diasah, strategi perlu disusun, gerombolan askar mesti bertanggungjawab kerana kemenangan tidak lagi datang bergolek.

Adakah “pasukan” ini sudah ada dan bersedia?

Ia bukan untuk menguji sama ada masih kuat atau hanya mahu berubah selepas tewas kerana ketika itu sudah terlambat untuk menuding kepada yang lain sebagaimana pada Mac 2008. Terlajak sekali, barangkali perlu menunggu 55 tahun lagi untuk berkuasa kembali. — Utusan Malaysia

* Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Previous: Muhy mengaku BN menghadapi persepsi buruk rakyat, tetapi... — Aspan Alias

Next: Why give Raja Nazrin space? — Lucius Goon