Opinion

Barang naik, hidup makin tertekan

December 17, 2013

A Shukur Harun

Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.

Ketika pemimpin negara, keluarga dan sahabat-handai mereka hidup bermewah-mewah, rakyat semakin derita, hidup makin sukar kerana harga barang naik, menyebabkan jurang miskin dan kaya semakin luas.

Ini tidak baik bagi sebuah negara, apalagi seperti Malaysia yang tanahnya subur, hasil buminya banyak, di mana sepatutnya rakyat menikmati kemakmuran ini. Namun disebabkan salah urus tadbir negara, rasuah, pembaziran, kronisme, penyelewengan dan sebagainya maka kebobrokan ekonomi pun berlaku, mengakibatkan rakyat biasa menderita.

Semua kepincangan ini sedang berlaku dan orang besar negara bersilat lidah mempertahankan kenaikan harga barang, yang kata mereka sedikit saja dan memang wajar. Banyak lagi kenyataan yang sangat dangkal dan bersifat membodohkan rakyat diucapkan oleh pembesar negara.

Dalam suasana jurang miskin-kaya ini semakin luas, maka dilihat segelintir pihak saja yang hidup selesa, malah bermewah-mewah, naik kapal terbang ke sana ke mari, makan minum di hotel ternama, atau di kelab elit yang eksklusif, mendiami kawasan elit di bandar besar, bermain golf, menjadi ahli kelab mewah, memiliki kereta mewah pelbagai jenis dengan pengawal keselamatan 24 jam.

Bagaimana mereka menjalani hidup mewah ini, daripada mana sumber pendapatan mereka. Mungkin di antara mereka ada yang mendapat rezeki sumber yang halal, tetapi bagaimana yang lain.

Mereka yang hidup bermewah-mewah ini terpisah daripada masyarakat dan tidak tahu derita sangsara rakyat. Umpamanya kehidupan mangsa banjir di pantai timur baru-baru ini.

Sementara di kawasan rakyat biasa - di mana-mana - di rumah teres harga murah atau flet dua bilik di mana lifnya selalu rosak, sampah-sarap bersepah, kes jenayah sering berlaku, maka di sanalah rakyat miskin bandar ini menjalani kehidupan.

Ada yang bekerja sebagai kerani biasa, buruh berpendapatan amat kecil, membuka warung nasi lemak di penjuru jalan, bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pelbagai lagi.

Atau penduduk jauh di pedalaman yang kerjanya menoreh getah atau mengambil upah mengait kelapa, mengail ikan dan menangkap udang di tepi pantai, atau membuka warung di penjuru jalan.

Inilah golongan rakyat biasa yang menderita disebabkan kos hidup terus naik meningkat. Mereka yang amat terkesan dengan kenaikan harga barang keperluan, apatah lagi tempoh persekolahan anak akan tiba tidak lama lagi. Maka belanja persediaan anak ke sekolah dan seterusnya belanja persekolahan sangat membebankan. Kini sudah kedengaran tambang bas sekolah akan naik sehingga 40%.

Kelmarin, kesatuan pengendali bas sekolah mengumumkan pihaknya akan mengenakan surcaj tambahan 40 peratus ke atas kadar tambang apabila penggal persekolahan bermula bulan depan, sekiranya kerajaan tidak mendedahkan kadar baru bagi perkhidmatan itu.

Gabungan Persatuan Bas Sekolah (GPBS) meluluskan usul tersebut dalam mesyuarat agung tahunannya baru-baru ini ekoran kegagalan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat menjalankan semakan semula tambang.

Langkah itu juga diambil selepas kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi harga diesel pada September lalu yang menurut GPBS menyebabkan pengusaha bas tertekan untuk meneruskan operasi.

Presien GPBS, Amali Munif Rahmat, berkata Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial kali terakhir membuat semakan harga tambang pada Ogos 2009.

Katanya, SPAD sepatutnya membuat semakan setiap tiga tahun atau apabila berlaku langkah drastik seperti kenaikan harga minyak diesel.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar membayangkan kenaikan kadar tol tahun depan di mana, katanya, tidak dapat dielakkan. Dalam keadaan beberapa kenaikan diumumkan sebelum ini, termasuk harga petrol, gula, tarif elektrik, pengumuman baru kenaikan tol ini dilihat satu lagi beban yang terpaksa ditanggung rakyat khususnya pengguna lebuh raya.

Baru-baru ini juga, Abdul Wahid berkata, telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan kerana perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

Kenaikan itu, katanya, sepatutnya dibuat pada 2011 lalu seperti terkandung dalam perjanjian konsesi, bagaimanapun tidak dinaikkan dan kerajaan membelanjakan RM400 juta untuk membayar pampasan untuk mengekalkan kadar sedia ada.

Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan daripada segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Ada media melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana. Ada 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.

Bantahan rakyat banyak di alam Facebook, umpamanya mereka berkata:

"Sekarang? giliran pemimpin BN balas budi sokongan rakyat dengan 'hadiah' kenaikan segala benda. Nak tunggu kedai kopi di kampung jual nasi lemak RM30 sebungkus, karipap RM10 sebiji, roti canai RM25 sekeping baru nak bantah. Terima Kasih BN kerana 'Dahulukan Rakyat'...."

"Hidup BN, rakyat didahulukan...," komen seorang lagi pengguna, Nan Manjoi dalam Facebook.

Golongan elit yang hidup bermewah-mewah tidak akan terasa kenaikan harga barang. Ini kerana mereka tidak pernah ke pasar, ke kedai runcit, makan di warung atau di kedai mamak. Mereka makan minum di tempat eksklusif, kediaman mereka juga di kawasan eksklusif, keluar negeri tidak putus-putusnya, malah membeli-belah di luar negeri. Mereka terpisah dengan rakyat dan tidak akan merasakan pedihnya dengan kenaikan harga barang.

Demikian jurang miskin kaya semakin meluas di Malaysia dan nampaknya ini dibiarkan terus berlaku, pada ketika ramai umat Islam melupakan pesan di dalam ajaran Islam supaya harta kekayan itu jangan beredar di kalangan sekelompok orang saja.

Siapakah yang hendak memberitahu keadaan ini, di manakah ustaz, mengapa mereka membisu seribu bahasa. Takkanlah dalam Islam itu hanya soal akhlak, memikirkan ganjaran pahala di akhirat semata-mata. Takkanlah bahan ini saja yang hendak diberitahu di dalam kuliah agama di masjid dan TV.

Bukankah rasuah, pembaziran, penyelewengan dan seumpamanya itu perkara mungkar yang juga wajib ditentang. Mengapa kuliah agama 'membisu' dalam perkara ini? - 17 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.