Opinion

Menyokong syor debat calon naib presiden

Menjelang Muktamar PAS di Shah Alam November ini, mungkin beberapa tokoh berhasrat untuk bertanding sebagai calon Naib Presiden dalam pemilihan muktamar tersebut. Pada masa ini ada tiga Naib Presiden PAS, iaitu Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

PAS sebenarnya tidak kurang tokoh berwibawa untuk memegang jawatan penting di masa depan baik dari kalangan ulama, professional, veteran, mahupun aktivis masyarakat yang telah menyerlahkan prestasi kerja mereka selama ini.

Oleh itu cadangan seorang AJK PAS Pusat, yang juga salah seorang ideolog PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa, supaya diadakan debat terbuka bagi para calon Naib Presiden menjelang Muktamar November ini menarik perhatian saya. Beliau mengutarakan cadangannya ini dalam sebuah forum baru-baru. Ia hanya sebuah cadangan, boleh diterima dan boleh ditolak.

Beliau mencadangkan supaya debat terbuka kepada para tokoh yang hendak bertanding sebagai Naib Presiden PAS. Menurutnya, jika di peringkat AJK PAS begitu ramai, maka biarlah hanya di peringkat Naib Presiden kerana beliau melihat ada kemunasabahannya.

Menurut Dr Mujahid, mekanisme seperti siapa yang akan menganjurkan debat itu, bagaimana bentuk majlis itu serta saiz majlis debat tersebut dan sebagainya boleh difikirkan kemudianya. Yang penting, katanya, kita bersetuju atau tidak Debat Naib Presiden itu.

Baginya, debat seperti ini adalah sihat, memenuhi ciri demokrasi, tidak bertentangan dengan akhlak Islam, malah ia diurus berasaskan etika Islam, justru ia dilakukan dengan mengambil kira sepenuhnya matlamat dan peraturan serta kesan debat itu sendiri.

Menurut Dr Mujahid lagi, calon Naib Presiden yang akan mengambil bahagian dalam debat tersebut akan mengemukakan idea, wawasan atau gagasan masing-masing dalam merancang masa depan jika ia dipilih oleh perwakilan.

Debat ini tidak akan memberi ruang kepada serangan peribadi, sindiran, pandangan negatif akan sesuatu golongan dan sebagainya. Calon itu, seperti dikatakan oleh Dr Mujahid, akan diukur qualitinya berdasarkan idea dan gagasannya, caranya berinteraksi, tahap intelek dan pemahaman Islamnya, serta kemampuannya berhujah.

Debat ini sama sekali tidak menjejaskan perlembagaan dan struktur organisasi parti, malah tidak menjejaskan konsep syura yang ada dalam PAS. Ia hanya sebuah pendekatan yang bertujuan menolong memberi lebihan maklumat kepada para perwakilan untuk memilih calonnya.

Memang benar debat ini bermula di Barat, terutama dalam pemilihan Presiden Amerika. Namun hendaknya jangan ada hujah menolaknya hanya semata-mata ia datang dari Barat dan tidak ada dalam sepanjang sejarah Islam.

Perlu diingat, debat seperti ini sudahpun dilakukan dalam beberapa Pemilu (Pemilihan Presiden dan Naib Presiden) di Indonesia sejak zaman selepas pemerintahan diktator Soeharto dan pulihnya demokrasi di negara umat Islam terbesar itu.

Debat Pemilu itu, di mana yang mengambil bahagian ialah calon Presiden, Naibnya dan pasangan lawannya. Seperti yang pernah saya saksikan sendiri di Jakarta pada Pemilu di tahun 2004 dan tahun 2009, ternyata debat itu sangat damai, segar dan jauh dari serangan peribadi. Tiap calon presiden, naib dan pasangannya mengemukakan idea, gagasan dan bentuk kepimpinan masing-masing.

Yang menariknya, debat Pemilu Presiden itu disaksikan oleh Ahli Majlis Ulama Indonesia, Ormas (NGO), tokoh intelektual, ekonomi dan sosial, wartawan dalam dan luar negara. Ini bermakna debat seperti ini direstui oleh para ulama Indonesia dan para tokoh moralis di mana ia menjadi sebahagian dari ciri demokrasi yang begitu segar di Indonesia.

Oleh itu saya sangat bersetuju dengan cadangan Dr Mujahid supaya diadakan debat calon Naib Presiden PAS yang akan bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS akan datang. Walaupun mungkin majlis debat itu bersaiz kecil atau sederhana tetapi sudah tentu mempunyai makna yang penting bahawa demikian hidupnya demokrasi dan pemikiran terkini PAS.

Debat seumpama ini juga mampu memberikan ruang berfikir yang secukupnya kepada para perwakilan muktamar ketika hendak memilih calon Naib Presiden, justru ia bukan saja tahu peribadi seseorang calon itu, tetapi juga lebih jauh idea dan gagasannya, prestasinya dalam parti di masa lalu serta bentuk kepimpinan yang hendak dilakukannya jika dipilih.

Debat terbuka ini boleh mengelakkan – jika ada - kempen bisik, kempen melalui SMS, facebook, twitter dan sebagainya. Walaupun rekod yang ada menunjukkan tidak pernah berlaku sebarang kekecohan dalam sepanjang sejarah Muktamar PAS selama ini, tetapi kewajaran mengadakan debat calon Naib Presiden ini masih tetap ada seperti yang saya sebutkan tadi.

Kalau begitu tentu ada yang bertanya, mengapa pula hendak diadakan debat sedangkan pemilihan di setiap muktamar tidak ada kekecohan seperti parti politik yang lain? Maka jawapannya ialah, debat ini memberi kesempatan lebih luas untuk para calon mengemukakan idea, gagasan dan bagaimana ia hendak memperkasakan parti sesuai dengan keadaan masa kini.

Dalam hubungan ini juga, perwakilan akan benar-benar berpeluang dari segi masa dan sebagainya, untuk memilih tokoh yang paling terbaik dari yang terbaik. Ini tentunya sangat menyegarkan dan demokratik.

Dalam masa yang sama, masyarakat umum akan melihat bagaimana PAS diuruskan dengan cara yang amat terkini, terbuka dan begitu demokratik. Ia akan dilihat mendahului parti lain dan bersifat sangat kontemporeri sesuai dengan sifat Islam yang didukung oleh PAS iaitu sentiasa sesuai dengan zaman dan perubahan.

Ini sesuai dengan pesan bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bahawa, “Perubahan itu seperti air yang mengalir dari bukit ke anak-anak sungai. Ia bersih, jernih dan boleh digunakan. Adapun sesuatu yang tidak berubah atau enggan berubah, ia seperti air yang bertakung, tidak mengalir, ia kotor dan tidak boleh digunakan.”

Pada pendapat saya, PAS sewajarnya menjadi air yang mengalir dan berubah untuk ia memberi manfaat kepada rakyat. - 28 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments