Opinion

Akhirnya Hamas diakui Umno

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

7 DIS — Begitu tinggi syukur saya melihat Hamas, gerakan Islam yang memerintah Gaza menjadi tetamu dalam Perhimpunan Agung Umno tahun ke 66nya.

Apa untungnya buat Hamas saya tidak pasti dan apa pula yang Umno cuba dapat dari tetamunya juga tidak dipastikan.

Tetapi setelah lama cuba untuk mendekati Umno, maka baru tahun baru hijrah 1434, baru Hamas diterima oleh Umno. Adakah sesudah Umno ada transformasinya baru terbuka hatinya untuk menerima Hamas sebagai tetamu sedang Hamas sudah acap kali menjadi tetamu Muktamar PAS sejak ia ditubuhkan kira-kira dua dasawarsa lalu.

Saya masih ingat sebaik Hamas ditubuhkan hadir di Muktamar PAS wakilnya Azam Tamimi sebagai tetamu PAS untuk memperkenalkan pertubuhannya. Kemunculannya sebagai sebuah gerakan politik Islam Palestin adalah setelah kegagalan PLO — Pertubuhan Pembebasan Palestin — pimpinan Yasser Arafat dari Gerakan Fatah tidak dapat membela masa depan Islam dan umat Palestin.

Kemunculannya itu samalah dengan kekecewaan umat Islam Mindanau terhadap MNLF — Barisan Pembebasan Nasional Bansa Moro — pimpinan Nur Misuari lalu membentuk MILF iaitu Barisan Pembebasan Islam Bansa Moro pimpinan Salamat Hashim dan samalah seperti kekeciwaan orang Islam Tanah Melayu terhadap perjuangan Umno mengenai Islam lalu mereka menubuhkan PAS.

MILF inilah akhirnya berjalan berjaya memperjuangkan nasib Islam Fillipina Selatan yang perjanjian damainya dengan kerajaan Filipina dicapai baru-baru dengan Malaysia menjadi orang tengahnya.

Kehadiran Azam Tamimi masa itu berusaha untuk dengan kerajaan Malaysia dan Umno supaya Hamas diakui dan dibantu sebagaimana ia memberi bantuan kepada PLO dan Mujahidin Afghanistan ketika diduduki Soviet Union.

PAS dapat membantu Hamas sekadar yang terdayanya tetapi untuk mendapatkan sokongan kerajaan, Hamas mesti menjalin hubungan dengan Biro Antarabangsa Pemuda Umno yang pengurusinya masa itu ialah Nazri Aziz. Azam pernah membawa penggantinya, Amar sebagai orang yang menghubungkan Hamas dengan Malaysia. Amar adalah adik Khalid Mashal, pemimpin Hamas sekarang.

Azam kemudian datang lagi dengan wakil Hamas di Pakistan, Dr Osman juga gagal untuk menemui Umno. Dr Osman beberapa kali datang ke Kuala Lumpur tetap gagal untuk menghubungi Umno.

Ketika Pakistan yang menerima perwakilan PLO juga boleh memberi layanan kepada Hamas, mengapa pula Umno tidak boleh memberi layanan yang serupa kepada Hamas?

Itulah persoalan dan layanan yang Hamas terima dari kerajaan dan Umno.

Hamas muncul kerana mereka melihat PLO yang Fatah sebagai organisasi terbesarnya mulai mengikut rentak yang dikehendaki oleh Amerika dan barat. Pendekatan berdamai dengan Israel yang PLO ambil, pada pandangan Hamas, tidak mungkin mengubah sikap Israil terhadap Palastin. Kerana itu Hamas dirasa penting buat Palestin dan akhirnya bakal menjadi gerakan paling berpengaruh di kalangan umat Palestin.

Khalid sendiri pernah datang ke Malaysia. Dia menjadi tetamu PAS. Saya sendiri mengiringnya mengadakan kunjungan ke Terengganu dan Kelantan. Khalid juga tidak dapat menembusi tembok Umno.

Betapa jaraknya Umno dengan Hamas dapat dibuktikan oleh sikap kerajaan BN yang menjadi tuan rumah satu sidang  antarabangsa di Kuala Lumpur telah menapikan kerusi Menteri Luar Palestin semasa Hamas menjadi kerajaan di Tebing Barat dan Ghaza. Kerusi perwakilan Palestin itu diberi kepada jurucakap luar Fatah yang kalah dalam pilihan raya dan tidak memerintah. Sedang Menteri Luar yang sah dari Hamas sudah ada di Kuala Lumpur.

Menteri luar dari Hamas itu penat saja datang ke Kuala Lumpur.

Maka sekarang barulah Umno menjadikannya tetamu Perhimpunan Agungnya. Dua puluh tahun Umno mengambil masa untuk mengakui Hamas, satu transformasi yang perlahan.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments