Opinion

Antara Anwar, Najib siapa baik dengan Khalid Mishal?

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

9 MAC — Saya tidak bercadang untuk membela Anwar Ibrahim yang menyatakan boleh menimbang menjamin keselamatan Israel dengan syarat-syarat yang dijangka tidak akan diterima oleh Israel.

Tetapi Perdana Menteri Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno lainnya belumlah lebih jelas sikapnya terhadap Palestin dibandingkan dengan Anwar Ibrahim.

Kerajaan Malaysia baik di bawah Mahathir mahupun di bawah Najib ada membela Palestin dan negaranya yang dicadangkan di bumi Gaza dan Tebing Barat yang ditadbir oleh kerajaan Palestin sekarang. Mahathir akrab dengan Yasser Arafat dan Najib kenal Presiden Mahmood Abbas.

Mahathir dan Najib tidak kenal rapat Khalid Mishal, pemimpin Hamas yang mendapat perlindungan di Syria selepas dia dibelasah agen rahsia Israel di Jordan tidak lama dulu. Tetapi Anwar Ibrahim kenal Arafat, Mahmood Abbas dan kenal semua pemimpin Hamas.

Antara Anwar dan Najib campur Mahathir siapa lebih kenal dan lebih rapat dengan Khalid Mishal yang memimpin Hamas? Tentulah Anwar. Malah selepas kenyataan Anwar tentang apa yang dikatakan menjamin keselamatan Israel di WSJ, Anwar sudah berjumpa Khalid Mishal. Mereka sudah membincangkan isu yang berbangkit itu.

Khalid dan Hamas mewakili perjuangan membebaskan Palestin yang lebih jelas dari perjuangan PLO. Pendirian Mahmood dan Fatah yang dipimpinnya telah lama cair terhadap Israel, tetapi Hamas belum melepaskan senjata terhadap regim zionis itu.

Menyokong Palestin saja tidak cukup kalau tidak sama menyokong Hamas. Adakah Najib dan kerajaan mempunyai hubungan yang baik dengan Hamas? Semasa Hamas berkuasa di Palestin ada satu sidang antarabangsa di Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia memberi perwakilan itu kepada Fatah sedang Menteri Luar Palestin dari Hamas yang sudah berada di Kuala Lumpur dinafikan.

Semasa Najib jadi ketua Pemuda Umno Khalid Mishal pernah datang ke Kuala Lumpur. Dia bercadang untuk menermui Nazri Aziz yang belum jadi menteri tetapi menjadi Ketua Biro Antarabangsa Pemuda Umno. Mishal bercadang untuk membincangkan kemungkinan Hamas menubuhkan pejabatnya di Kuala Lumpur sama seperti yang diberikan kepada Fatah.

Rombongan tertinggi Hamas tidak dapat layanan yang baik kerajaan dan Umno. Semasa Khalid berada di Malaysia, saya yang menemankannya ziarah hingga ke Kuala Terengganu dan Kota Baru. Bukan Wisma Putra dan bukan pemimpin Umno.

Kiranya ditanya pemimpin dan penyokong Hamas, siapa lebih mereka kenal antara Dr Mahathir, Najib dan Anwar? Kita terkejut jawapannya ialah Anwar. Mengapa? Justeru Anwar ada talian dengan kebanyakan orang Palestin. Ada pun Najib dan Dr Mahathir, ramai yang kenal tetapi dipercayai jaraknya tidak sama dengan Anwar.

Justeru itu, apa pun yang Anwar kata tentang Palestin dan Israel, hati rakyat Palestin lebih kenal dengan Anwar dari semua yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Untuk dikatakan Anwar itu alat dan boneka Israel, bagi setengah orang Palestin belum tentu Anwar lebih dari rekod Arafat dan Mahmood Abbas.

Kenyataan Anwar tentang Israel rasanya sekadar menjamin bersyarat jika ia dapat dipenuhi Israel. Jaminan belum sama dengan pengiktirafan. Anwar belum menyebut tentang pengiktirafan. Apa lagilah hubungan diplomatik.

Kiranya Zionis boleh bersetuju dengan syarat Anwar itu, maka barulah jaminan itu akan dibincangkan. Kalau pun jaminan itu boleh diberi, tetapi tidak semestinya ia boleh diiktiraf.

Saya kata begitu untuk bersangka baik dengan Anwar bahawa dia tidak dapat disama dengan Najib dan Mahathir yang dipercayai banyak bermain mata dengan Israel.

Contoh terbaik jaminan Malaysia tanpa pengiktirafan dan tanpa hubungan diplomatik ialah dengan Taiwan. Malaysia hanya mengakui satu China di dunia. Siapa yang mengakui Taiwan maka rosaklah hubungannya dengan China.

Tetapi China tidak tersinggung dengan jaminan Malaysia kepada Taiwan dan segala hubungan dagang antara keduanya.

Bagi mengukur sokongan kepada Palestin sekarang apa kata kalau Khalid Mishal tidak selesa tinggal di Syria berikut pergolakan di negara itu. Di mana Khalid hendak mendapat perlindungan? Jika dia mohon perlindungan menetap di Kuala Lumpur sambil meneruskan perjuangan Hamas. Adakah Najib bersedia? Kalau Pakatan berjaya mengambil Putrajaya, rasanya Khalid tidak ada masalah.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments