Opinion

Apa bijaksananya menimbul isu republik?

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

19 DIS — Republik untuk Malaysia bukanlah suatu isu.

Tetapi puak Umno yang dipimpin oleh Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian Perhimpunan tiga sayap partinya telah menempelak DAP mahu menjadikan Malaysia sebuah republik. Tiada mana-mana orang Umno yang membantah tohmah itu.

Saya tidak bercadang untuk menjadi juara membela DAP. Tetapi saya hendak bertanya apakah bijaksananya mana-mana pemimpin atau sesiapa saja warga Malaysia memasyhurkan isu republik buat negara ini?

Kita wajar sama-sama mengakui ada kebijaksanaan para pejuang kemerdekaan memilih sistem beraja buat negara merdeka yang rakyat dan penduduknya majmuk.

Mungkin ada dulu dan selepas merdeka yang mempertikai pemilihan itu, tetapi kita memberi tahniah kepada mereka berjaya secara sepakat menjadikan Malaya yang kemudiannya menjadi Malaysia sebagai sebuah negara beraja.

Dan rakyat pada umumnya tidak membuat bantahan terbuka terhadap cadangan dan kejayaan menjadikan negara merdeka itu negara beraja dan sekalian rakyatnya sebagai rakyat Seri Paduka.

Malah para Sultan yang ramai itu pula tidak berbalah untuk bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong. Walaupun sekalian Sultan berpeluang menjadi Yang di-Pertuan Agong buat penggal lima tahun, tetapi tidak setiap Sultan berpeluang menjadi Yang di-Pertuan Agung.

Ada Sultan menunggu sampai mangkat tidak jadi Yang di-Pertuan Agong tetapi ada pula baru naik takhta beberapa tahun sudah naik takhta tertinggi itu.

Tidak diketahui ada yang membuat memorendum kepada Suruhanjaya Reid yang merangka perlembagaan negara mahukan ia jadi republik. Bagaimana pun kenyataan terbuka Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Perdana Menteri yang ditujukan kepada raja-raja supaya berterima kasih kepada perjuangannya yang disokong oleh majoriti rakyat memilih sistem beraja.

Tunku menyebut ada antara rakyat yang tidak suka, tetapi rata-rata rakyat menerima pilihan yang telah dibuat. Ia adalah rakyat dan secara bijaksana menerima pilihan itu sebagai suatu yang baik.

Kenyataan Tunku itu memberi mesej ada orang yang tidak suka, tetapi kebijaksanaan pemimpin dan rakyat tidak keluar menjaja orang itu mahukan republik dan orang ini sukakan republik.

Pandangan kedua itu tidak dibangkitkan dan tidak dipolemikkan kerana mengingatkannya dari semasa ke semasa mendatangkan apa-apa kebijaksanaan kepada semua, bahkan boleh melemahkan kesepakatan rakyat memuliakan institusi beraja itu.

Kebijaksanaan masyarakat dulu dan pemimpin-pemimpinnya yang dulu, tidak pernah melayan isu ada orang tidak mahu raja. Melayan cakap beberapa orang menjadikan orang itu terasa besar, dan sebarang perbincangan mengenainya boleh dijadikan dalih betapa tidak semua orang suka raja.

Apakah DAP begitu atau ia hanya satu fitnah, tetapi masyarakat luar boleh mengambil ia adalah hujah ada di kalangan rakyat Malaysia mahukan republik.

Buktinya, Timbalan Perdana Menteri berkata begitu.

Bodohlah bagi DAP kalau ia memperjuangkan sebuah republik pada ketika masyarakat pada umumnya menerika sistem beraja buat Malaysia adalah pilihan terbaik. DAP mahukan sokongan rakyat. Ia sedar ia sukar mendapatkan penerimaan orang Melayu. Ia tahu umumnya orang Melayu selesa dengan system beraja itu. Jika ia buat sesuatu yang tidak disukai oleh orang Melayu, maka ini bererti ia terpaksa menunggu 100 lagi untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Ia tahu bahawa yang mengggagalkan Malayan Union tajaan British sebelum Umno ditubuhkan ialah ia mahu membuang raja-raja. Masa itu orang Melayu tidak tahu politik. Tetapi mereka telah bangkit menentang Malayan Union. British tidak memerlukan undi orang Melayu, tetapi DAP mahukan undi orang Melayu.

Memahami keadaan itu DAP tidak akan buat kesilapan yang dibuat oleh Malayan Union it. Muhyiddin dan Najib jangan fikir pemimpin PAS dan PKR dungu seperti orang Umno yang tua-tua mengira PAS dan PKR diperkuda oleh DAP. Sebagaimana mereka tidak mahu diperkuda oleh Umno, begitu juga mereka tidak mahu diperkuda oleh sesiapa.

Sepanjang 54 tahun merdeka, republik tidak pernah menjadi isu. Sistem beraja telah diterima oleh semua. Hanya Muhyiddin menghidupkannya untuk dapat faedah politik yang sedikit, tetapi cakap Muhyiddin itu lebih banyak mengetuk pagar istana dari mengetuk politik DAP. Suara Muhyiddin itu mengajak orang mempolemikkan sistem beraja. Elok orang diam, Muhyiddin bangkit buruk baiknya antara republik dan sistem beraja.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments