Opinion

Cina bukanlah MCA dan DAP saja

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

15 MEI ― Harga MCA sudah amat jatuh. Yang naik melangit ialah harga DAP.

Maruah MCA sudah boleh dikatakan tidak ada lagi. Maruah yang tinggal hanya kesediaannya menerima tanggungjawab atas kekalahannya dengan menolak semua jawatan yang ditawarkan dalam kerajaan, dari menteri hinggalah ke JKKK.

Jika betul ia enggan menerimanya, maka ada juga nilai moralnya. Jika keputusan itu dibatalkan, maka moralnya habis.

Bukanlah kali pertama MCA bercadang menolak sebarang jawatan tanpa meninggalkan Barisan Nasional atau dulunya Perikatan.

MCA pernah kalah teruk dalam PRU 1969. Komen Tun Dr Ismail, orang kedua selepas Tun Razak ialah MCA tak mati dan tak hidup. Sehari sebelum 13 Mei, 1969 Tun Tan Siew Sin mengumumkan, MCA menolak sebarang jawatan dalam kerajaan Perikatan.

Esoknya berlaku 13 Mei. Justeru kecelakaan itu MCA tak jadi dari diri.

Dan sekarang ramai yang susah hati atas sikap MCA itu, takut Cina tidak diwakili dalam kerajaan. Apakah MCA sekadar mengugut, justeru ia mahu menguji harga dirinya?

Antara orang Umno yang pitam atas perkembangan itu sudah mencadangkan supaya ambil DAP sebagai ganti kerana tidak boleh kerajaan majmuk Malaysia ini tanpa Cina. Cadangan itu seperti membuang atau menyembelih MCA yang sesak nafas itu.

Begitulah Umno bila ia tersepit. Bila BN kalah di Selangor tahun 2008, Umno Selangor cari Hasan Ali dan PAS, ajak dia jadi Menteri Besar dalam kerajaan baru BN Selangor. Di Perak mereka cari Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak masa itu untuk tubuh kerajaan bersama Umno dengan PAS jadi Menteri Besar.

Sama seperti pasca 13 Mei, 1969. Tun Razak yang menggantikan Tunku Abdul Rahman tawar kerjasama Perikatan-Gerakan kepada Dr Lim Chong Eu, Ketua Menteri Gerakan Pulau Pinang ketika itu dan cari Datuk Asri, ajak bentuk kerajaan campuran Perikatan-PAS.

Tokoh pembangkang Dr Lim Chong Eu setuju, maka bermulalah kehancuran Gerakan. Datuk Asri juga bersetuju, maka bermulalah kejatuhan pimpinannya dalam PAS.

Sekarang dianjurkan pula supaya DAP dibawa ke dalam kerajaan BN supaya ada wakil Cina yang kuat dalam kerajaan. Ketika yang sama banyak pula menasihatkan MCA pertimbang semula cadangan tarik diri.

Saya tidak fikir Lim Kit Siang selemah Dr Lim Chong Eu. Mati balik hidup dia tidak akan terima beban politik Umno, BN dan kerajaan BN. DAP sudah kata banyak tentang kelemahan kerajaan, PM dan BN. Tidak mungkin dia telah air liur yang sudah diludahnya.  Memujuk MCA ibarat berkawan terus dengan orang yang diserang angin ahmar, memikul beban tetapi berpahala. Ia tidak memulihkan kelumpuhan kerajaan BN.

Jika Najib dan BN perlukan penyertaan Cina dalam kerajaan, Cina itulah ada dalam MCA dan DAP saja. Ramai lagi Cina yang boleh diambil dan tidak semestinya dalam pertubuhan politik saja. Ramai Cina bebas yang terkenal. Antaranya aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, Prof Khoo Khay Kim, Lim Kok Weng atau Cina Islam seperti Ridhuan Tee yang mesra dengan kerajaan BN. Atau pun pengerusi Dewan Perniagaan Cina dan saudagar Vincent Tan dan lain-lain. Atau Datuk juara badminton Chong Wai.

Mereka boleh mewakili Cina dalam kerajaan. Apakah mereka boleh menggantikan MCA dan Gerakan sebagai kerabat BN adalah hal lain. Apakah mereka diterima oleh MCA dan DAP tidak berbangkit. Yang penting Cina ada dalam kerajaan.

DAP tetap berdepan dengan BN dan Umno hinggalah ia sampai ke Putrajaya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis

Comments