Opinion

Hisham telah memalukan Hanif

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

21 MEI — Tidak ramai yang sedar apa Tun Hanif Omar, bekas Ketua Polis Negara fikir tentang Bersih 3.0 sebelum 28 April lalu.

Tidak ramai yang ambil tahu apa dibuatnya selepas bersara.

Tetapi apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Hussein mengangkatnya sebagai pengerusi jawatankuasa menyiasat kekacauan yang berlaku antara polis dan penunjuk perasaan Bersih 3.0, maka namanya segera menjadi buah mulut rakyat.

Sekalian yang menuntut pilihanraya bersih dan adil mengiranya anti tindakan tuntutan lapan perkara yang dirumuskan oleh Bersih 2.0 Julai tahun lalu.

Dalam kesibukan orang hendak menghadapi PRU 13, orang mahukan perubahan politik dan mahu menawan Putrajaya, tiada siapu peduli dengan Tun Hanif dan apa dia buat.

Dengan seorang dia membuat komen tentang Bersih 3.0 itu begitu dan begini, pandangannya dikira seperti anjing menyalak bukit.

Tetapi setelah polis berkelahi dengan golongan pro pembaharuan dan  pro demokrasi, maka Tun Hanif diangkat untuk menjadi hakim kepada perbalahan itu, maka orang mengiranya seperti menyerahkan kes itu kepada hakim beruk. Atau bagi satu perbicaraan seperti bersaksi ke lutut.

Semua pihak yang hendak diadili tidak menyambut perlantikan Tun Hanif itu. DAP, PAS dan PKR menolaknya dan tidak akan bekerjasama dengan jawatankuasa itu. Majlis Peguam dan Suhakam juga mengira Tun Hanif tiada wibawa dan kelayakan untuk menjalankan tugas itu.

Yang menyokongnya NGO yang diketuai oleh Norain Mai saja. Ia adalah NGO vetren polis.

Bukan saja orang tolak perlantikannya, malah mereka berikan alasan mengapa dia tidak layak menjadi ketua penyiasatan itu. Malangnya Tun Hanif pula seronok dengan perlantikan itu dan  mempertahan kelayakannya terhadap komen awal orang tidak setuju dengannya.

Sepatutnya sebagai orang yang cukup lama mengetuai angkatan polis, di bawahnya ada unit yang mengkaji dan memantau suasana politik negara, dia tahu akan natijah dan reaksi politik bila dia menerima perlantikan itu. Alasan kelayakannya tidak dapat diterima oleh orang yang terlibat apabila dia dikatakan membuat komen pra Bersih 3.0 menyamakan unjuk rasa itu dengan gaya komunis.

Hak dan kebebasannya untuk berkata apa tentang Bersih 3.0 tetapi dia tidak boleh menjadi hakim kepada masalah itu setelah dia berkata begitu.

Tetapi isu Hanif Omar itu sudah tidak penting lagi sekarang. Tiada apa hasil yang dapat dibuatnya apabila seluruh warga Bersih 3.0 tidak menerimanya. Yang orang patut perhatikan sekarang ialah kebijaksanaan menteri Hishammuddin Hussein mengangkat warga emas itu mengepalai jawatankuasa itu.

Tun Hanif tidak ada apa-apa kepentingan politik, tetapi Hishammuddin punya banyak kepentingan politik. Dia diperhatikan bagaimana hendak menyelamatkan politik Perdana Menteri, menyelamatkan politiknya sendiri dan memulihkan imej polis yang dipersoal orang?

Dengan dia melantik Tun Hanif, Tun Hanif tiba-tiba jadi orang yang dipertikai. Khidmat baiknya sebelum ini tidak dapat membantunya menjadi orang disukai semua dalam kegawatan politik dan keamanan sekarang. Kerana Hishammuddin mengangkatnya, dia tidak lagi dilihat seperti suasana sebelum dia dinamakan ke jawatan itu.

Dengan mengangkat Tun Hanif, keupayaan Hisham menyelesaikan krisis keyakinan terhadap polis dipersoal. Perlantikan itu tidak dilihat bijak. Maka menteri Hisham dilihat menteri yang tidak bijak dan malah tiada wibawa. Gara-gara pemilihan yang dibuatnya sudah memalukan Tun Hanif. Berjuta orang sedang membincangkan Tun Hanif begitu dan begini.

Hisham dikira gagal lagi. Disamping dia telah meletakkan Tun Hanif dalam keadaan kurang selesa, dia tidak membantu Perdana Menteri Najib meringankan masalah dan ketempangan politiknya tentang sistem pilihanraya kotor di bawah SPR.

Dia tidak buat apa-apa bagi menjernihkan imej polis. Polis di bawahnya seolah-olah mengamuk sekarang, memburu peserta Bersih 3.0 yang dikehendakinya. Dia sebenarnya gagal menyelesaikan gaduh antara polis dan penunjuk rasa.

Apa dia hendak buat tentang perlantikan Hanif Omar? Dia sedang membuktikan dirinya seorang menteri yang gagal. Hanif tidak dapat membantu polis dan negara sekarng.

Jangan salahkan Tun Hanif dan jangan salahkan polis, tetapi yang salah dan gagal ialah menteri Hishammuddin Hussein. Kegagalannya menyebabkan semua bercempera.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments