Opinion

Kesan politik Bible guna Allah

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

31 JAN — Kita telah mengikuti panjang lebar polemik Bible Melayu menggunakan kalimah Allah dari sudut akadami, agama, perlembagaan, perpaduan dan lain-lain. Apa untung dan apa lemahnya bagi setiap kelompok yang bertikai.

Isu itu telah dipolitikkan. Setiap pihak tentu dapat menyelami hati budi dan penerimaan masing-msing. Ia panas dan berhaba. Tidak banyak dapat menyumbang kepada perpaduan nasional. Tidak banyak diperkatakan tentang kesan dan untung rugi politik yang masing-masing boleh diraih dari isu itu.

Isu ini meletup dalam lengkongan masa 100 hari menjelang PRU13. Ia berpunca dari mesej Hari Natal Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya dipertimbangkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu di Semenanjung.

Mungkin ia satu seruan bagi menseragamkan dan menambah rapatkan lagi hubungan antara sesama wilayah Malaysia mengikut konsep 1 Malaysia. Kalau ia boleh dipakai di Sabah dan Sarawak, mengapa ia tidak boleh di Semenanjung?

Tetapi adakah ia telah dihitung dari sudut politik terutama politik pilihan raya yang sudah dekat itu? Apapun masing-masing tidak dapat lari ia akan memberi kesan politik tertentu.

Jika DAP mengira ia mahu meraih sebanyak-banyak sokongan pengundi bukan Melayu, maka ia perlu menggunakan isu ini. Pandangan popular semua pihak bahawa DAP sudah berada dalam keadaan yang selesa, betapa ia mudah meraih sokongan besar pengundi bukan Islam, khususnya masyarakat Cina.

Amat memeranjatkan jika ia terbalik. Sama ada kalimah Allah bagi Bible Melayu itu diperjuangkan atau  tidak diperjuangkan, DAP akan selesa dengan sokongan orang bukan  Islam.

Untuk dewasa ini orang Islam/Melayu belum bersedia menerima saranan Guan Eng itu. Ia tidak banyak membantu DAP dalam usahanya meluas lebarkan sokongan di kalangan orang Melayu.

Sejak awal DAP gagal mendapat sokongan Melayu. Tetapi kebencian terhadap mula reda, cuma ia masih menjadi stigma di kalangan Umno tegar saja. Mulai ada orang Umno yang bosan dengan parti itu mula beralih kepada DAP seperti bekas ADUN di Bahagian Pekan dan beberapa orang kuat Umno bahagian.

Saya tidak mengagak ramai orang Melayu akan menyertai DAP, tetapi akan ada Melayu yang mahu bersamanya. Dengan isu Bible Melayu ini boleh menyebabkan Melayu liberal itu menangguhkan keinginannya menyertai DAP.

Tidak dinafikan PAS ikut menerima kesan dari perkembangan itu. Apapun sikap PAS atas isu itu menyebabkan ia payah mendapatkan undi Melayu yang sudah tidak mahukan Umno. Orang Melayu yang mahu menyokong PAS dalam PRU13 ini mungkin menimbang semula sama menyokong Umno semula atau tidak mengundi.

Maka ia boleh mengganggu program PAS Ganti Umno yang rancak itu. Orang Melayu yang meninggalkan Umno untuk bersama PAS tetap ada, tetapi bilangannya boleh berkurangan. Seorang Umno yang tidak jadi menyokong PAS adalah satu kerugian pada PAS.

Sebarang gesaan supaya PAS bersikap terbuka dalam penggunaan Allah dalam Bible nescaya tidak banyak menolong PAS, sedang PAS amat mengharapkan kejayaan kempen PAS Ganti Umno.

Kita tidak kata ia boleh menggagalkan hasrat menawan Putrajaya, tetapi ia boleh mengganggu keselesaan PAS memasuki PRU itu. Umno sesungguhnya suka isu ini timbul kerana ia boleh mengurangkan orang lari daripadanya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments