Opinion

PRU 13: Selangor selepas Jun

Subky Abdul Latif

Haji Subky Abdul Latif seorang penulis bebas dan tinggal di Kuala Lumpur. Seorang pendiam, dia gemar meneliti perangai manusia dan berita politik di Malaysia.

23 MAC — Kerajaan Selangor setakat ini bertegas ia tidak akan mengadakan pilihan raya umum sebelum bulan Jun. Ada tanggungjawab yang perlu diselesaikannya dan ia hanya selesai selepas Jun.

Menteri Besar Selangor itu diketahui seorang yang tegas. Maka tidak nampak keputusan itu akan berubah.

Tan Sri Khalid Ibrahim dipercayai tidak membuat keputusan sendiri. Tentulah ia sudah mendapat isyarat dari partinya, khasnya PKR dan mungkin juga ia sudah dimaklumkan kepada sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Tiga buah negeri Pakatan Rakyat lagi, sekali pun ada kuasa untuk menentukan hendak ikut sama atau tidak, wajarlah membincangkannya dulu sebelum membuat kenyataan sendiri-sendiri.

Biar Pakatan Rakyat membuat kenyataan negeri tertentu akan bersama Selangor dan negeri ada hikmah untuk serentak dengan PRU Parlimen. Apa pun saya dimaklumkan Pakatan Rakyat ada maklumat tentang pendirian Selangor itu.

PRU 13 itu telah diwarwarkan oleh pihak yang rapat dengan Perdana Menteri Najib sudah hendak diadakan seawal mungkin, sesudah wakil rakyat baru selepas Mac 2008 layak mendapat pencen jika tidak dicalonkan semula.

Tetapi Selangor dari awal sudah menyatakan ia hanya akan mengadakan pilihan raya selepas penggan yang ada genap empat tahun. Buat pertama kali SPR dan Jabatan Perdana Menteri bertemu perkembangan seperti itu. Sebelum kepala Perdana Menteri saja yang berkuasa bila ia hendak diadakan. Pihak lain mengikut kuasanya saja.

Najib dirasakan sudah dapat ilham untuk mengadakannya hujung Mei atau awal Jun. Mungkin itu masa paling baik mengikut firasat bomoh bagi memudahkannya berkuasa semula. Waktu itu sudah diganjak dekat dengan kemahuan Selangor.

Kalau diadakan hujung Mei, Selangor belum dapat ikut. Tetapi kalau Jun mungkin Selangor boleh menimbangkannya. Jun itu bila? Awal, tengah atau hujung?

Jika Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sepakat untuk bersama Selangor, maka ia tidak perlu disegerakan. Boleh dienjakkan ke tahun depan apabila tempoh itu genap.

Maka banyak lagi yang dapat dibuat oleh Pakatan Rakyat untuk kebaikan rakyat dan negeri di negeri masing-masing.

Mungkin kelab negeri Pakatan Rakyat itu bertambah selepas PRU 13 ini. Maka ini boleh memberi semangat yang lebih bagi Pakatan Rakyat untuk memenangi semula pilihan raya itu.

Masalah yang Selangor dan negeri yang bersamanya bakal hadapi kira pilihan raya berasingan ialah ia akan ditumpu sepenuhnya oleh jentera BN yang sudah pun selesai pilihan raya di negeri masing-masing. Tetapi hal itu payah kalau BN memerangi semula semua dewan.

Kalau Pakatan Rakyat dapat menawan Putrajaya dan beberapa negeri lagi, maka ia tidak menjadi suatu yang sudah pula baginya. Kerajaan pusat yang dikuasai Pakatan akan beroleh kelebihan untuk membantu Selangor dan lain-lain negeri.

Pada masa itu SPR bukan lagi yang bercendawan seperti sekarang. Orang baru dan pentadbiran baru pula yang mengendalikannya. Mungkin Ambiga dan Pak Samad Said akan memimpinnya bagi menjadikan ia bersih bagai yang Bersih 2.0 mahukan.

SPR selama ini takut belanja besar kalau ia pilihan raya berasingan. Tetapi ia hendak menyalahkan yang dirasanya keras kepala saja. Ia tidak persoal Perdana Menteri yang tidak pandangan lain. Apa pun ingatan Tan Sri Khalid dari awal telah mendorong Najib bertangguh hingga sekarang.

Cuma yang menimbulkan persoalan jika PRU itu hendak diadakan Mei ini, sempatkah rayuan kes Liwat II Anwar diselesaikan? Kes itu dikira oleh semua sebagai projek Najib bagi menghadapi PRU itu.

Pusingan pertama kes itu tidak selesa untuk penaja projek. Ia dirayu oleh pendakwa. Tidak diketahu umum bila prosesnya bermula? Sempatkah selesai Mei ini? Jika tidak sempat masih kekallah Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri menunggu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments